Disediakan Oleh: Vellyroy Alexius
“Berani Menjadi Saksi Kristus” (Yesaya 44:8)
Youth Camp Zon St. Nicholas Paroki Telupid
Telupid – Dengan berpegang kepada tema “Berani Menjadi Saksi Kristus” (Yes 44:8), program Youth Camp kali ke-4 telah berjaya diadakan selama tiga hari dua malam, bermula pada 18 hingga 20 September 2025 di Zon Santo Nicholas Paroki Telupid. Program ini bertempat di Kapela Katolik St. Paul Bambangan, yang bergabung bersama Kapela Katolik St. Mark Genting Sabapalm.
Khabar gembira mengenai penganjuran kem ini sebenarnya telah dirancang sejak 19 hingga 21 Mac 2020. Namun, dunia ketika itu dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan program tersebut terpaksa ditangguhkan serta-merta.
Lima tahun berlalu sejak pandemik melanda, namun kasih setia dan cinta Bapa yang tidak berkesudahan telah menggerakkan Kerasulan Belia Katolik Zon St. Nicholas untuk tidak berputus asa. Dengan semangat sinodal, mereka terus menabur benih iman di ladang Tuhan demi membimbing belia masa kini. Penganjuran kem ini turut mendapat sokongan daripada para pengerusi KUK, pengerusi zon, para katekis, serta Kerasulan Wanita Katolik di zon berkenaan. Segala usaha ini akhirnya membuahkan hasil melalui bimbingan dan karunia kuasa Roh Kudus. Seramai 112 orang peserta, termasuk penceramah dan ahli jawatankuasa pelaksana (AJP), telah mengambil bahagian dan bersama-sama memuliakan Tuhan melalui pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang program.

Pada hari pertama, belia bersama umat di Kampung Bambangan telah meraikan Perayaan Misa Kudus Pembukaan Youth Camp Ke-4 (YC4) yang diselebrankan oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol. Dalam homilinya, Rev. Fr. Dafrinn menekankan agar para peserta memanfaatkan sepenuhnya pengalaman yang diperoleh sepanjang kem ini dengan berani menjadi saksi Kristus melalui setiap aktiviti yang telah disusun oleh penganjur.

Di penghujung Misa Kudus, beliau dengan nada bersahaja sempat berseloroh, mengingatkan para peserta bahawa kehadiran mereka bukanlah semata-mata untuk mengelakkan diri daripada kerja rumah yang diberikan oleh ibu bapa, tetapi sebagai satu kesempatan untuk mendalami kasih dan belas kasih Bapa. Beliau turut berpesan agar para belia terus membuka hati untuk menerima rahmat Tuhan, supaya mereka diberkati, menghasilkan buah iman yang baik, serta mampu membawa cinta kasih Bapa kepada dunia.
Pada sebelah petang, sesi pertama dimulakan dengan tajuk “Panggilan: Menemukan Tujuan Hidup Dalam Kristus” yang disampaikan oleh Katekis Matrin Kinti dari St. Joseph Nangoh, Zon St. Nicholas. Dalam sesi ini, para belia diberi pemahaman tentang makna panggilan hidup menurut ajaran Gereja Katolik, bahawa setiap orang yang telah dibaptis dipanggil untuk hidup kudus, mengasihi Allah dan sesama.
Katekis Matrin menegaskan bahawa tujuan utama hidup manusia ialah untuk bersatu dengan Kristus dan mencapai keselamatan kekal. Beliau turut menjelaskan empat panggilan khusus dalam Gereja Katolik, iaitu:
1. Imamat, yakni melayani Tuhan dan Gereja sebagai imam.
2. Kehidupan religius, iaitu membaktikan diri kepada Tuhan melalui kaul kemiskinan, kemurnian, dan ketaatan sebagai biarawan atau biarawati.
3. Perkahwinan, iaitu membina keluarga Kristian sebagai jalan menuju kekudusan.
4. Selibat awam, iaitu mengabdikan diri kepada Kristus di tengah dunia tanpa menikah, namun tetap menjadi saksi kasih-Nya.
Sesi diteruskan dengan sesi kedua bertajuk “Melawan Arus: Katolik Dalam Budaya Dunia Yang Berubah” yang disampaikan oleh Puan Rekha Jubun dari St. John Sinaputan, Zon St. Nicholas. Melalui sesi ini, para belia diajak untuk memahami bahawa “melawan arus” bukanlah sesuatu yang negatif, tetapi satu tindakan iman untuk tetap teguh mempertahankan kebenaran menurut ajaran Kristus di tengah dunia yang penuh cabaran.
Para belia disuntik dengan semangat untuk melawan arus melalui empat pendekatan utama:
1. Melalui Firman Tuhan, agar dapat membezakan kehendak Bapa daripada kehendak dunia.
2. Menghayati sakramen secara aktif, khususnya Ekaristi dan Pengakuan Dosa yang menjadi sumber kekuatan rohani.
3. Hidup dalam komuniti iman, di mana para belia saling mendukung dalam menghadapi tekanan dunia.
4. Berani menjadi saksi Kristus, melalui tindakan kasih, kejujuran, integriti, dan keberanian untuk bersuara apabila nilai iman dicabar.
Kesimpulannya, Puan Rekha menegaskan bahawa melawan arus bukanlah bererti membenci dunia, tetapi mencintainya dengan cara yang benar, yakni dengan membawa terang Kristus di tengah kegelapan zaman. Pada sesi malamnya, suasana Youth Camp semakin meriah dengan Welcome Night, di mana setiap kumpulan peserta mempersembahkan persembahan pentas kreatif sebagai tanda sambutan dan perkenalan, sekaligus mempererat hubungan sesama belia.
Hari kedua Youth Camp Ke-4 Zon St. Nicholas dimulakan seawal jam 5.00 pagi dengan Ibadat Jalan Salib secara luar (outdoor), di mana para peserta diajak merenungkan penderitaan Kristus dalam suasana alam ciptaan Tuhan. Seusai ibadat, program diteruskan dengan aktiviti senaman pagi yang diketuai oleh Nomilla dan Rennilyn, bagi menyegarkan tubuh dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan belia.
Sesi ketiga diteruskan dengan tajuk “Iman Dalam Dunia Digital” yang disampaikan oleh Cik Fettwinda Sipaan, penceramah jemputan merangkap ahli Kerasulan Belia Paroki Telupid (KBPT). Dalam perkongsian ini, beliau menekankan bahawa iman Katolik dalam dunia digital bukan sekadar untuk bertahan, tetapi untuk terus berkembang, asalkan dijalankan dengan bijaksana dan berlandaskan nilai iman. Dunia digital, menurut beliau, merupakan “ladang misi yang baru” di mana belia dan umat Katolik dipanggil untuk membawa terang serta harapan Kristus ke ruang maya. Sebagai pengukuhan, para peserta turut terlibat dalam aktiviti perbincangan berkumpulan, di mana mereka berkongsi pandangan dan pengalaman tentang bagaimana menghayati iman dalam dunia digital masa kini.
Sesi keempat bertemakan “Bertumbuh Dalam Komuniti” disampaikan oleh Sister Noemi Mejia, Koordinator Belia Keuskupan Sandakan. Dalam sesi ini, Sister Noemi menegaskan bahawa pertumbuhan dalam komuniti membawa makna yang mendalam dari segi iman, pembentukan peribadi, serta nilai kehidupan seharian. Beliau mengajak para belia untuk memahami makna sebenar komuniti dalam konteks Katolik — iaitu umat yang berkumpul, berdoa, dan hidup bersama dalam iman kepada Yesus Kristus, disatukan melalui sakramen, terutamanya Ekaristi, serta dipimpin oleh ajaran Gereja. Komuniti yang sejati, jelasnya lagi, adalah komuniti yang hidup dalam kasih, saling melayani, dan taat kepada pimpinan imam, uskup, serta Paus sebagai gembala umat Allah.
Selesai sesi tersebut, Sister Noemi bersama para peserta melaksanakan permainan rohani bertajuk “Jalan Menuju ke Syurga”, iaitu permainan berbentuk Kotak Interaktif. Melalui permainan ini, para belia diajar tentang nilai-nilai moral Katolik seperti kasih, kejujuran, ketaatan, kerendahan hati, pengampunan, kebijaksanaan, dan kesedaran akan dosa serta cabaran hidup. Kesemuanya menjadi panduan rohani dalam perjalanan mereka menuju ke syurga.
Sesi kelima diteruskan dengan aktiviti bertemakan “Faith Workout” yang membawa subtema “Berani Menjadi Saksi Kristus: In the Journey to the Promised Land.” Aktiviti ini dikendalikan oleh Kakak Anna Teresa Peter Amandus, selaku Pengerusi CARITAS Keuskupan Sandakan.
Melalui sesi ini, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diminta untuk mengharungi lapan perhentian simbolik, iaitu Hamba, Rumput Terbakar, Oasis, Angin Ribut, Ular, Keadaan Buruk, Laut Merah, dan akhirnya Tanah Perjanjian. Setiap perhentian membawa makna rohani yang mendalam, menggambarkan perjalanan iman manusia menuju pembebasan dan penyatuan dengan Tuhan.
Perhentian pertama, HAMBA, mengajak para belia untuk merenungkan keadaan diri yang sering diperhambakan oleh rasa bersalah terhadap masa lalu, perasaan negatif, ketidakselesaan, kurang keyakinan diri, cemburu, mahupun luka batin. Sebagai simbol, fasilitator memberikan seutas tali kepada setiap ahli kumpulan untuk mengikat kedua belah tangan mereka ke belakang, melambangkan keterikatan manusia oleh dosa dan kelemahan diri. Setelah semua selesai diikat, mereka dibenarkan meneruskan perjalanan — satu lambang usaha membebaskan diri bersama Kristus.
Seterusnya di perhentian RUMPUT TERBAKAR, para peserta diingatkan bahawa dalam setiap ujian hidup, Tuhan sentiasa hadir memanggil nama kita. Di sini, para peserta diminta menanggalkan kasut serta melepaskan tali ikatan di tangan sebagai tanda pembebasan, lalu berlutut di hadapan Tuhan. Tindakan simbolik ini melambangkan kesediaan untuk meninggalkan kehidupan yang sibuk, berdosa, dan tidak teratur — agar dapat berdiam diri sejenak bersama Tuhan dalam doa dan penyerahan diri sepenuhnya kepada-Nya.
Perhentian ketiga, OASIS, mengingatkan para belia bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan kita, biarpun dalam saat kekeringan rohani atau keletihan hidup. Tuhan mengetahui setiap keperluan umat-Nya dan sentiasa mencukupkan kita dengan kasih-Nya. Ketika kita penat, Dialah yang memberikan istirahat. Namun, sering kali kita gagal menyedari pemberian-Nya itu — kita membazir, tidak menghargai rezeki, dan terlalu sibuk hingga melupakan diri serta orang lain. Para peserta diajak merenung: “Hidup yang kita nikmati hari ini mungkin selesa bagi kita, tetapi bagaimana pula dengan kehidupan orang lain?”
Perhentian keempat, ANGIN RIBUT, melambangkan pelbagai cabaran dan gangguan dalam kehidupan seharian — digosipkan, difitnah, ditegur, atau dimarahi. Walau apa pun yang menggoncang, para belia diingatkan bahawa iman yang teguh dalam Yesus Kristus akan menjadi perisai yang melindungi mereka. “Jika iman kita kuat, kita akan tetap berdiri teguh di tengah badai kehidupan,” demikian inti pesanan sesi ini.
Perhentian kelima, ULAR, membawa para peserta menyedari bahawa dalam kehidupan, kita tidak dapat lari daripada kelemahan manusiawi. Kadang kala, kerana sifat-sifat negatif seperti kebencian, gosip, penipuan, kecemburuan, atau ketidakjujuran, kita secara tidak sedar telah melukai hati orang lain dan merosakkan keharmonian ciptaan Tuhan. Sesi ini menjadi ajakan untuk melakukan pemeriksaan batin dan pertobatan — agar setiap peserta berani mengakui kesalahan dan memohon pengampunan Tuhan.
Seterusnya, di perhentian keenam, KEADAAN BURUK, para belia diajak merenung bahawa setiap orang pasti pernah atau sedang berhadapan dengan saat-saat paling gelap dalam hidup mereka. Sering kali manusia memilih untuk melarikan diri atau menafikan masalah, namun sesi ini menegaskan bahawa cara terbaik untuk mengatasi cabaran ialah dengan berani menghadapinya bersama Tuhan, kerana hanya dengan iman, seseorang dapat menemukan kekuatan sejati.
Perhentian ketujuh, LAUT MERAH, menggambarkan kesibukan hidup manusia yang sering dikejar masa hingga lupa akan orang di sekelilingnya. Para peserta diingatkan agar tidak membiarkan kesibukan memisahkan mereka daripada keluarga, sahabat, dan komuniti iman. Seperti bangsa Israel yang menyeberangi Laut Merah dengan pertolongan Tuhan, demikian juga setiap belia dipanggil untuk mempercayai bahawa Tuhan akan membuka jalan di tengah kesempitan hidup mereka.
Akhirnya, di perhentian kelapan, TANAH PERJANJIAN, para peserta disambut dengan sorakan dan lambaian tanda kejayaan. Ini melambangkan ketibaan di destinasi rohani — tempat di mana kasih dan janji Tuhan digenapi. Fasilitator mengucapkan, “Tahniah! Kamu sudah sampai di tanah yang dijanjikan Tuhan!”
Selepas itu, semua peserta duduk dalam kumpulan untuk berkongsi pengalaman dan renungan rohani mereka sepanjang melalui setiap perhentian. Sesi ini menjadi saat yang penuh keinsafan dan syukur, di mana setiap belia menyedari perjalanan iman mereka sendiri bersama Kristus yang setia menemani dari permulaan hingga akhir.
Pada malam kedua, suasana Youth Camp Ke-4 Zon St. Nicholas semakin meriah dengan penganjuran acara bertemakan “Malam Sejuta Kenangan.” Setiap kumpulan peserta diminta mempersembahkan lakonan pentas bertemakan kerohanian, yang menggambarkan pengalaman iman dan kehidupan sebagai saksi Kristus. Kreativiti serta mesej rohani yang disampaikan melalui persembahan para belia nyata menyentuh hati semua yang hadir.
Sebagai penutup malam tersebut, pasukan Ahli Jawatankuasa Pelaksana (AJP) mempersembahkan lagu tema rasmi Youth Camp Ke-4, berjudul “Aku Saksi Tuhan,” yang dinyanyikan bersama penuh semangat dan kesatuan hati.
Hari terakhir kem dimulakan dengan suasana yang penuh syukur dan damai. Para peserta berkumpul seawal pagi untuk memuliakan Tuhan melalui doa pagi yang dipenuhi dengan semangat kesegaran dan kesederhanaan. Seusai bersarapan, satu sesi perkongsian pengalaman diadakan bagi memberi ruang kepada para peserta meluahkan apa yang mereka alami sepanjang tiga hari kem rohani ini.

Antara perkongsian yang paling menyentuh hati datang daripada adik Marchel Emmanuel Meofilus, berusia 12 tahun. Dalam luahannya, beliau menyatakan bahawa sepanjang aktiviti Faith Workout, beliau sering teringat akan ibu bapanya. Rasa sedih menyelubungi dirinya apabila mengenang kesalahan yang pernah dilakukan terhadap mereka. Namun, melalui setiap cabaran dan halangan dalam aktiviti itu, beliau memilih untuk mengharunginya dengan sabar sebagai tanda penyesalan dan usaha untuk menebus kasih yang telah dilukai. Kesaksian polosnya telah menyentuh hati para peserta lain dan menjadi lambang nyata kasih Tuhan yang bekerja dalam hati seorang anak muda.

Sebagai penutup rasmi, Youth Camp Ke-4 diakhiri dengan Ibadat Berkomuni yang dipimpin oleh Katekis Raimin Naeh. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta belia atas semangat, kerjasama, dan keberanian mereka sepanjang program berlangsung. Beliau turut memberi pesanan agar setiap belia terus melangkah dengan tekad untuk “berani menjadi saksi Kristus” dalam kehidupan seharian.

Dengan penuh rasa syukur, kem rohani ini berakhir dalam suasana sukacita dan harapan — bahawa benih iman yang ditabur sepanjang tiga hari ini akan terus bertumbuh subur dalam hati setiap peserta.
Tuhan memberkati. Amin.

Di akhir program, mengumumkan Tuan Rumah Youth Camp ke 5…!!! jatuh kepada St. John Sinaputan..!!
