Artikel : SOCCOM Luarstasi St.Gabriel Tungku
Photo: Romel, Michelle

Luarstasi St. Gabriel Tungku Paroki St. Dominic Lahad Datu, pada 19 sehingga 21 September 2025 satu program YOUTH MINI CAMP 2 telah berjaya dianjurkan oleh Belia luarstasi St. Gabriel Tungku dengan membawa tema “Muda Tapi Menjadi Teladan”. Program ini merupakan kesinambungan daripada penganjuran pertama pada tahun 2018, dan kali ini telah disertai seramai 39 peserta yang terdiri daripada belia St. Gabriel Tungku, belia KPUK Felda serta belia Paroki St. Dominic Lahad Datu.

Pada hari pertama para peserta mula tiba pada jam 4:00 petang untuk sesi pendaftaran, diikuti dengan penerangan ringkas pada jam 6:00 petang. Setelah makan malam bersama, suasana menjadi lebih meriah dengan sesi Puji-Pujian dan Ice Breaker yang membantu pembentukan iman para belia dan membantu para belia berkenalan antara satu sama lain.

Seterusnya, sesi pertama yang dibawa oleh Sr Jane bertajuk “Identiti Sebagai Anak Allah ” bagi belia berumur 15–35 tahun membuka ruang refleksi tentang bagaimana belia boleh menampilkan teladan Kristiani dalam kehidupan harian. Bagi belia berumur 8–14 tahun, sesi mereka bertajuk “Identiti dan Teladan Orang Muda Katolik” yang dibawa oleh EM Mary Chin. Aktiviti pada malam pertama ini diakhiri dengan Doa Malam yang mempersembahkan seluruh perjalanan kemah tersebut kepada Tuhan.

Penyampaian Cenderahati kepada Pembawa Sesi 1 : Mary Chin

Hari kedua menjadi hari paling padat dengan pelbagai aktiviti rohani, perkongsian, rekreasi dan sesi pembentukan. Dimulakan dengan sesi ke-2 yang dibawa oleh Sr Jane bertajuk “Menjadi Teladan dalam Pelayanan” yang memberi penekanan lebih mendalam kepada peranan belia sebagai saksi Kristus dalam kehidupan seharian. Seterusnya, para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan untuk sesi bersama EM Raymon yang bertajuk “Kepimpinan & Pelayanan dalam Kasih”.

Penyampaian Cenderahati kepada Pembawa Sesi 2 : Raymond Diam

Kemudian, para peserta diberi kesempatan untuk mengikuti ceramah yang dibawa oleh Tuan Ravi bertajuk “Belia Berdisiplin & Teladan dalam Masyarakat” yang menekankan pentingnya sikap bertanggungjawab dan disiplin dalam membangun komuniti serta menjadi teladan di tengah masyarakat.

Penyampaian Cenderahati kepada Penceramah Jemputan : KPL Ravindra Kumar Mahindran

Aktiviti diteruskan dengan rekreasi berpasukan melalui Amazing Race Katolik yang penuh cabaran dan kebersamaan, diikuti dengan aktiviti Sukaneka yang mengeratkan persaudaraan para belia. Hari kedua ditutup dengan persiapan diri sebelum meneruskan perjalanan rohani seterusnya.

Amazing Race Game : Prayer Chain

Pada hari ketiga dan juga hari terakhir kemah ini telah bermula seawal pagi dengan persiapan diri, diikuti sarapan dan doa Rosari bersama. Suasana syahdu terasa ketika sesi Sharing, di mana para belia berkongsi pengalaman sepanjang kemah ini.

Seterusnya, para peserta membuat persiapan untuk Misa/Ibadat Sabda yang dipimpin oleh Sr Jane, sebagai kemuncak rohani Youth Mini Camp 2. Seusai perayaan iman ini, sesi diakhiri dengan acara bergambar bersama, penyampaian hadiah, dan akhirnya gotong-royong sebagai tanda kebersamaan dan tanggungjawab bersama.

Pada Kesimpulannya Youth Mini Camp 2 ini telah menjadi ruang istimewa bagi para belia Katolik di luarstasi St. Gabriel Tungku untuk memperdalam iman, memperkukuh persaudaraan, serta memahami panggilan untuk “Muda Menjadi Teladan”. Semoga pengalaman yang diperoleh selama kemah ini menjadi bekal dalam kehidupan harian, agar sentiasa bersinar sebagai terang Kristus di tengah masyarakat.