Gambar Oleh: SOCCOM Lahad Datu
Artikel Oleh: Farnandes Siprianus
Lahad Datu, 28 September 2025 – Satu perayaan yang bersejarah dan penuh makna telah berlangsung di Paroki ini pada tarikh tersebut. Paroki St. Dominic dengan penuh sukacita telah menerima Salib Malaysia, iaitu lambang kudus penyatuan umat dan juga Salib menuju Konvensyen Pastoral Malaysia (MPC).
Majlis penyerahan Salib ini diadakan dalam suasana meriah semasa Perayaan Misa Kudus, yang turut disambut serentak dengan Hari Migran dan Perantau Sedunia ke-111.
Salib Malaysia telah diserahkan secara rasmi kepada Paroki St. Dominic Lahad Datu oleh wakil daripada Paroki Holy Trinity Tawau pada jam 9.00 pagi hari yang sama. Upacara penyerahan ini diadakan dalam Perayaan Misa Kudus istimewa yang dipimpin oleh Rev. Fr. Stanley Matakim, dan memberi penekanan rohani yang mendalam, khususnya dalam konteks sambutan Hari Migran dan Perantau Sedunia.
Dalam homilinya, beliau menyampaikan pesan penting tentang penerimaan dan kasih sayang terhadap sesama insan tanpa mengira latar belakang, sejajar dengan semangat perpaduan dan pelayanan yang dibawa oleh Salib Malaysia.
Suasana di dalam gereja pada hari tersebut diselubungi dengan semangat keimanan dan kesatuan yang mendalam berikutan kehadiran Salib Malaysia. Upacara ini turut diserikan dengan kehadiran umat yang ramai daripada pelbagai peringkat usia, yang bersama-sama mengambil bahagian dalam perayaan penuh makna ini.
Kehadiran yang begitu memberangsangkan itu mencerminkan semangat kekitaan, perpaduan, dan komitmen rohani yang teguh dalam kalangan komuniti paroki ini.
Tujuan utama lawatan Salib Malaysia ini adalah untuk menyatukan sembilan keuskupan di seluruh Malaysia melalui doa, puasa, dan beramal. Inisiatif rohani ini juga bertujuan untuk menyemai serta memperkukuh pertumbuhan iman dalam kalangan umat Katolik.
Salib ini dijadualkan berada di Paroki St. Dominic Lahad Datu bermula 28 September hingga 13 Disember 2025, dan sepanjang tempoh tersebut, Salib Malaysia akan dibawa ke hampir semua luar stasi di bawah naungan paroki ini bagi memberi peluang kepada seluruh umat.
Selepas Perayaan Misa Kudus dan upacara penyerahan Salib Malaysia, perayaan diteruskan dengan penuh semangat dalam suasana yang mencerminkan kepelbagaian budaya Paroki St. Dominic. Pelbagai aktiviti susulan diadakan bagi mempamerkan keunikan bangsa dan tradisi yang membentuk komuniti-komuniti di paroki ini.
Antara acara menarik yang diadakan termasuk persembahan pentas yang menyerikan suasana perayaan, serta pameran gerai makanan tradisional yang menampilkan pelbagai hidangan istimewa. Gerai-gerai tersebut diwakili oleh beberapa komiti besar dalam paroki, antaranya Komiti Tukad, FPC (Filipino Pastoral Committee), KPI (Komiti Pastoral Indonesia), dan Komiti Cina.
Pesta kepelbagaian ini bukan sahaja memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan umat Paroki St. Dominic, malah menegaskan tema Hari Migran dan Perantau Sedunia yang menekankan penyatuan, penerimaan, dan kasih antara sesama.
Penerimaan Salib Malaysia ini dijangka akan memperbaharui serta menyemarakkan semangat misionari dan perpaduan dalam kalangan umat Paroki St. Dominic Lahad Datu, sambil mereka bersiap sedia untuk meneruskan fasa perjalanan salib ke destinasi seterusnya.