Diosis Sandakan, 24 September 2025 – Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan, Komisi Migran & Perantau, serta Caritas Diosis Sandakan sekali lagi berganding bahu menganjurkan sebuah webinar bertajuk “Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana.” Program ini dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi ZOOM dan turut diadakan secara hibrid di beberapa lokasi di Diosis Sandakan.
Seramai 222 peserta telah mendaftar untuk webinar ini, dengan 120 orang mengikuti secara dalam talian, manakala selebihnya menyertai sesi secara hibrid di lokasi seperti Gereja St. Dominic Lahad Datu dan Nativity Chapel Pelantung, Beluran.

Webinar dimulakan dengan doa pembukaan dan kata – kata aluan dari Rev. Fr. Stephen Esguerra, Penasihat Rohani Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Diosis Sandakan.
Webinar ini turut diserikan dengan kehadiran Rev. Fr. Stephen Esguerra, Penasihat Rohani Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan, serta Rev. Fr. Ricki Boy Hasim, Penasihat Rohani Komisi Migran & Perantau dan Caritas Diosis Sandakan. Turut serta ialah peserta dari pelbagai keuskupan lain termasuk Keuskupan Agung Kuching, Keuskupan Miri, Keuskupan Melaka–Johor, Keuskupan Agung Kota Kinabalu, dan Keuskupan Keningau.
Sesi 1: Apa yang Menyebabkan Bencana?

Sesi pertama iaitu “Kenapa bencana berlaku?” telah disampaikan oleh Prof. Dr. Felix Tongkul, Profesor Kehormat di Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah.
Sesi pertama telah disampaikan oleh Profesor Dr. Felix Tongkul, Profesor Kehormat di Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah. Dalam sesi ini, beliau memberikan pencerahan berkenaan definisi bencana, jenis-jenis bencana, punca-punca berlakunya bencana, serta langkah-langkah untuk mengawal dan mengurangkan kesan bencana alam.
Antara pendekatan yang diketengahkan termasuklah perancangan guna tanah, sistem amaran awal, pemulihan ekosistem, serta pendidikan dan peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Profesor Dr. Felix juga berkongsi mengenai beberapa kejadian bencana yang telah dan sedang berlaku di Sabah, serta pengalaman peribadi beliau dalam menangani situasi-situasi tersebut. Beliau turut menekankan bahawa komuniti memainkan peranan penting dalam aspek kesiapsiagaan dan pengurangan risiko bencana.
“Komuniti adalah barisan hadapan ketika berdepan dengan bencana. Peranan mereka sangat penting dalam usaha mengurangkan kesan bencana,” ujar Prof. Dr. Felix Tongkul.
Sesi 2: Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana – Sebelum, Semasa dan Selepas

Sesi kedua iaitu “Kesiapsiagaan menghadapi bencana: Sebelum, semasa dan selepas” yang disampaikan oleh Jennifer James Amandus, ahli Caritas Diosis Agung Kota Kinabalu.
Sesi kedua pula disampaikan oleh Jennifer James Amandus, merupakan ahli Caritas Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Dalam perkongsiannya, beliau menekankan aspek praktikal dalam menggerakkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (Emergency Response Team) di peringkat komuniti dan paroki.
Beliau menyentuh tentang kepimpinan pasukan, perancangan strategi, serta kerjasama erat dengan pihak berkuasa, sebagai elemen penting dalam respons kecemasan yang berkesan.
Jennifer turut berkongsi enam langkah utama yang perlu diambil dalam situasi bencana:
1. Penilaian situasi bencana
2. Perancangan dan penyediaan bajet
3. Komunikasi dalaman dengan Paderi Paroki
4. Komunikasi luaran dengan pihak berkuasa (seperti bomba, polis, dan APM)
5. Pelaksanaan tindak balas
6. Pendokumentasian proses dan penyediaan laporan
Beliau juga berkongsi pengalaman peribadinya ketika terlibat secara langsung dalam operasi bantuan bencana di Sabah, khususnya ketika berkhidmat bersama MERCY Malaysia.

Nativity Chapel Pelantung, Beluran, salah satu tempat di mana peserta berkumpul dan mengikuti webinar secara hibrid.
Semoga Webinar ini dapat membuka mata para peserta tentang kepentingan kesiapsiagaan, kerjasama komuniti, serta tindakan pantas dan tersusun dalam menghadapi bencana alam.

St Dominic, Lahad Datu juga telah mengikuti webinar ini secara hibrid.
Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kepekaan terhadap isu bencana, malah di harapkan dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara gereja, komuniti, dan pihak berkuasa.

Webinar “Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana” diakhiri dengan kata – kata penghargaan dan harapan serta doa penutup oleh Rev. Fr. Ricki Boy Hasim, Penasihat Rohani bagi Komisi Migran & Perantau dan Caritas Diosis Sandakan.
Semoga melalui inisiatif seperti ini, komuniti Katolik – terutamanya di peringkat paroki – dapat memainkan peranan lebih aktif sebagai barisan hadapan dalam pengurangan risiko bencana, termasuk melalui usaha jangka panjang seperti pemulihan ekosistem, penanaman semula pokok, dan pendidikan berterusan.