Oleh Tim Media YLC-8 (Vyellyinda Paulus, Valencia Elino Valintine, Delsie Ivy Didacius)
Beluran – “Orang yang berharap kepada Tuhan akan berlari dan tidak lesu” (Yes 40:31) adalah tema Youth Leaders’ Camp ke-8 (YLC 8) yang dipilih oleh pihak penganjur dimana dalam tema ini mengajak peserta untuk terus berharap kepada Tuhan dan tidak lesu. Penganjuran YLC 8 kali ini telah diadakan di Gereja Katolik St. Paul, Ulu Dusun, Beluran selama empat hari tiga malam bermula pada 13 September hingga 16 September 2025. Seramai 115 orang telah menyertai program ini yang terdiri daripada 77 orang peserta dan 38 orang tim penganjur. Setiap peserta yang menyertai YLC8 merupakan para pemimpin belia yang melayani dalam Kerasulan Belia Paroki dari setiap paroki dan bakal pemimpin yang mahu melayani belia di paroki masing-masing.
Pada hari pertama YLC8 bersamaan 13 September 2025, program bermula dengan pendaftaran lalu diikuti dengan aktiviti mendirikan khemah di kawasan yang telah disediakan. Antara aktiviti lain yang dijalankan pada hari pertama ialah doa Kerahiman jam 3.00 petang dan seterusnya taklimat berkaitan Do’s and Dont’s sepanjang YLC8 berlangsung. Pada sekitar jam 4.00 petang, berlaku gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan keseluruhan kawasan terputus bekalan. Akibatnya, Misa Pembukaan yang dijadualkan berlangsung pada jam 6.00 petang dan dipimpin oleh Fr. Stephen Esguerra, rektor Paroki Our Lady Of Fatima, Beluran terpaksa diteruskan dalam suasana gelap. Walaupun seluruh kawasan terputus bekalan elektrik, Misa tetap diteruskan dalam suasana yang tenang. Pencahayaan minimum disediakan oleh pasukan teknikal melalui penggunaan lampu mudah alih, yang sedikit sebanyak membantu mewujudkan suasana hening dan doa. Situasi ini menjadi satu peringatan bahawa walaupun dalam kekurangan, umat tetap bersatu dalam iman dan liturgi dapat dilangsungkan dengan penuh penghayatan.
Fr Stephen dalam ucapan pembukaannya mengalu-alukan kehadiran semua peserta dan penganjur YLC8 ke Gereja St. Paul Ulu Dusun. Fr. Stephen dalam homilinya mengajak para peserta agar meletakkan pengharapan kepada Tuhan kerana pengharapan itu adalah Yesus Kristus sendiri yang memberikan kita hidup, iman dan jalan. Keperitan dalam pelayanan sebagai pemimpin belia memang ada sehingga ada yang berhenti melayani. Oleh itu, para peserta diajak untuk memandang pada Salib Yesus jika hal ini berlaku. Di dalam kesakitan Yesus memikul salibNya, Dia tetap membawa cinta kasih dan penyelamatan untuk kita.
Berakhirnya Misa Pembukaan YLC8 menyaksikan perubahan jadual apabila sesi “Know Your Worth” dianjak ke hari kedua, manakala sesi “Mencipta Visi Dalam Pelayanan” diteruskan pada malam tersebut oleh Fettwinda Sipaan dalam suasana tenang dan penuh tumpuan. Semua sesi dijalankan di Dewan Serbaguna St. Paul, Ulu Dusun, Sandakan, di mana setiap kontinjen paroki membincangkan serta menilai takwim aktiviti masing-masing dan merancang tindakan susulan bagi yang belum dilaksanakan. Hari pertama diakhiri dengan doa malam yang dipimpin oleh Tim Liturgi, menutup hari dengan semangat pelayanan yang diperbaharui.
Hari kedua YLC8 pada 14 September dimulakan dengan doa Angelus dan doa pagi, diikuti sarapan yang menguatkan semangat para peserta. Sesi pujian dikendalikan oleh kontinjen St. Dominic Lahad Datu bagi membangkitkan suasana rohani sebelum mendengar perkongsian daripada Saudari Iira Ida Joanes melalui dua sesi bertajuk “Know Your Worth” dan “We Listen, We Don’t Judge.” Dalam sesi pertama, beliau menekankan tiga aspek utama iaitu mengenal identiti dalam misi, menyedari bakat atau talenta serta kepimpinan diri, dan meneladani Yesus dalam tanggungjawab harian. Peserta turut diajak melepaskan beban masa lalu melalui aktiviti refleksi diri bertajuk “Imej Diri vs Diri Sebenar” yang dijalankan secara kreatif melalui lukisan tapak tangan, melambangkan imej diri, keperibadian sebenar, dan talenta yang dikurniakan Tuhan dalam diri masing-masing.
Sesi kedua bertajuk “We Listen, We Don’t Judge” memberi penekanan kepada kepentingan mendengar dengan hati dan mata sebagai asas dalam membina komunikasi yang penuh kasih. Mendengar dengan hati mengajar peserta untuk memahami perasaan dan emosi seseorang melalui ekspresi wajah, manakala mendengar dengan mata membantu mereka menafsir mesej yang disampaikan melalui bahasa tubuh. Para peserta turut berpeluang mempraktikkan kemahiran mendengar dalam dua situasi — mendengar dan menyokong — sebagai latihan dalam pelayanan yang empati dan berkesan. Dalam sesi ini, peserta diingatkan tentang empat anugerah kuasa yang dimiliki setiap individu, iaitu kuasa beremosi, berfikir, bercakap, dan bertindak, yang perlu digunakan dengan bijaksana agar pelayanan benar-benar mencerminkan kasih Tuhan.
Selesai sesi pertama dan kedua, para peserta dibahagikan kepada kumpulan kecil mengikut emoji pelekat yang terdapat di belakang tag nama masing-masing. Kumpulan ini dibentuk bagi melaksanakan aktiviti “Berjalan Bersama”, iaitu aktiviti berjalan bersama secara rohani ke setiap stesen Jalan Salib di sekitar kawasan gereja. Di setiap perhentian, peserta akan berbincang bersama ahli kumpulan dan membuat tugasan yang mendorong mereka untuk berkongsi pengalaman iman secara mendalam. Aktiviti ini dijalankan secara berterusan sepanjang YLC8 ini dengan memberi peluang kepada kumpulan untuk bergerak mengikut masa lapang mereka masing-masing. Melalui “Berjalan Bersama”, para peserta bukan sahaja memperkukuh hubungan sesama ahli kumpulan, tetapi juga meneguhkan iman dan semangat pelayanan yang berpusat kepada kasih Tuhan.
Pada jam 4.00 petang, misa kudus telah dipimpin oleh Fr. Dafrinn Diwol. Dalam homilinya, beliau mengongsikan bahawa tarikh 14 September adalah tarikh dimana gereja merayakan Pesta Salib Suci yang merupakan pesta besar gereja. Beliau mengatakan bahawa Salib adalah tanda penyelamatan dan melalui Salib itu Yesus mengalahkan maut dan dosa. Salib Yesus adalah kebanggaan kita sebagai Kristian Katolik. Fr. Dafrinn mengingatkan bahawa kita harus tetap memikul Salib kehidupan kita untuk menyatakan iman kita kepada Tuhan. Pada sebelah malamnya, adorasi telah dikendalikan oleh para peserta dari kontinjen St. Martin Telupid. Cahaya lilin menerangi suasana gereja yang hening dimana memberi ruang kepada para peserta untuk menghayati adorasi yang dipimpin oleh Fr Dafrinn.
Pada 15 September 2025, hari dimulakan dengan misa pagi yang dipimpin oleh Fr. Dafrinn. Misa pagi hari tersebut adalah peringatan wajib Santa Perawan Maria Berdukacita (Our Lady of Sorrow). Dalam homilinya, Fr Dafrinn menyatakan semakin ramai belia yang kurang melayani dan lebih suka bersendirian. Selain itu, beliau juga mengatakan manusia pada zaman sekarang lebih suka memandang keburukan daripada menghargai kebaikan. Fr Dafrinn mengingatkan untuk tidak mensia-siakan hubungan dengan Tuhan dan sentiasa teguh dalam doa dan pertahankan iman. Akhir sekali, dalam homili Fr Dafrinn mengajak semua yang menyertai Program YLC8 untuk sentiasa meletakkan kepercayaan kepada Bonda Maria yang akan membawa doa-doa kita kepada Tuhan Yesus.
Pada jam 12.25 tengah hari, suasana YLC8 kembali ceria apabila bekalan elektrik yang terputus selama hampir dua hari akhirnya pulih sepenuhnya. Program diteruskan dengan sesi keempat bertajuk “Copy, Improvise and Paste” yang dikendalikan oleh Tim Program, Raynold Thomas. Dalam sesi ini, setiap kontinjen paroki diminta untuk berbincang dan membentangkan program belia yang telah dijalankan di paroki masing-masing untuk dikongsikan bersama pemimpin belia lain. Tujuan sesi ini adalah untuk saling memperkaya idea dan menjadikan perkongsian tersebut sebagai cadangan aktiviti yang boleh disesuaikan mengikut keperluan paroki lain. Antara program yang dikongsikan termasuk Youth Monthly Gathering (Paroki Holy Trinity, Tawau), Mongoi Mandaa (Paroki St. Martin, Telupid), Sukan Tahunan (Misi Paitan), Birthday Gathering (St. Mark, Sandakan), Parish Youth Day (Paroki St. Dominic, Lahad Datu), dan Catholic Campus Gathering (St. Mary, Sandakan).
Selain sesi-sesi utama, pengisian program ini turut merangkumi Conversation in Spirit (CIS). Sebelum memulakan sesi ini, para peserta kembali ke dalam kumpulan masing-masing yang telah ditetapkan. Conversation in Spirit merupakan satu ruang perbualan rohani di mana para peserta diajak untuk berkongsi dari kedalaman hati, saling mendengar, dan membina bersama berdasarkan tajuk atau renungan yang diberikan. Sesi ini dijalankan dalam tiga pusingan yang membantu peserta merenung, bertumbuh, dan memperkukuh hubungan mereka dengan Tuhan serta sesama.
Selepas berakhirnya sesi keempat, program YLC8 diteruskan dengan sesi kelima bertajuk “Learn and Relearn” yang disampaikan oleh Fettwinda Sipaan. Dalam ini, setiap kontinjen paorki diminta untuk menghasilkan satu kertas kerja program bagi tahun 2026 yang merangkumi nama program, objektif, sasaran peserta, tarikh, masa, tempat, Support System (S.S) dan Person In Charge (P.I.C). Setiap perincian perlu disusun mengikut prinsip S.M.A.R.T (Specific, Measurable, Achievable, Relevant, dan Time Frame) bagi memastikan perancangan yang realistik dan berkesan. Melalui perbincangan penuh semangat, para peserta saling berkongsi idea kreatif dalam merancang program yang membina dan memperkukuh kerjasama dalam pelayanan belia di paroki masing-masing.
Sesi diteruskan dengan “Pitch It Up” yang dikendalikan oleh Raynold Thomas sebagai sesi terakhir bagi program YLC8. Dalam sesi ini, setiap paroki diberikan masa lima minit untuk membentangkan hasil kertas kerja mereka di hadapan empat pelabur iaitu Fr. Dafrinn, Sr. Noemi, Sr. Jane, dan Martinus Simon. Para pelabur akan bertindak untuk memberi dorongan, peneguhan, serta cadangan penambahbaikan terhadap perancangan yang dikemukakan. Antara program yang dibentangkan dan dirancang untuk tahun 2026 ialah Catholic Youth Sports Day (Paroki Holy Trinity, Tawau), Parish Youth Day (Paroki St. Dominic, Lahad Datu), Telupid Parish Youth Day (Paroki St. Martin, Telupid), Program Belia Masuk Kampung (Misi Paitan), Youth Thanksgiving (Paroki Our Lady of Fatima, Beluran), Joy Youth Camp (Gereja St. Mark, Sandakan), dan Sandakan Youth Day 2026 (St. Mary, Sandakan). Mengakhiri sesi dengan penuh harapan, Sr. Noemi menyeru agar semua program yang dirancang benar-benar dilaksanakan dan dipersembahkan dalam Misa Pengutusan YLC8 sebagai tanda komitmen belia yang sedia melangkah maju dalam pelayanan demi kemuliaan Tuhan.
Aktiviti Praise and Worship Shower pada malam tersebut yang dirancang dalam suasana campfire berubah arah apabila hujan turun membasahi bumi. Namun, semangat para peserta tidak luntur. Sebaliknya, suasana menjadi lebih meriah dengan kelainan yang dibawa. Setiap paroki menerima tugasan untuk mengetuai sesi pujian dan penyembahan selama 15 minit, lengkap dengan ice breaking, mengikut tema komuniti yang dicabut seperti Kerasulan Wanita Katolik (KWK), Pertemuan Minggu Gembira (PMG), Orang Muda Katolik (OMK), Komuniti Cina, dan CHARIS. Para peserta tampil kreatif menjiwai tema yang dibawa oleh setiap paroki. Contohnya, Paroki St. Martin Telupid yang mengetuai sesi pujian dan penyembahan dengan tema KWK dan diikuti oleh paroki-paroki lain yang membawa tema yang berbeza. Walaupun tanpa unggun api, api semangat dan pujian tetap menyala, menjadikan malam itu satu pengalaman yang menginspirasi dan mempererat semangat pelayanan dalam komuniti.
Pada 16 September 2025, program YLC8 mencapai kemuncaknya dengan sesi pengisian terakhir iaitu harapan yang dikendalikan oleh Sr. Noemi Mejia sebelum para peserta diutus secara rasmi. Dalam sesi penuh refleksi ini, beliau menjemput beberapa peserta untuk berkongsi perasaan, pengalaman baharu, serta harapan yang ingin dibawa pulang selepas mengikuti YLC8. Antara harapan yang disuarakan ialah keinginan untuk terus bekerjasama dan menguatkan pelayanan belia di paroki masing-masing. Sr. Noemi turut mengingatkan para peserta agar sentiasa bersatu hati dalam pelayanan, kerana seperti pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.” Beliau meluahkan rasa syukur dan kegembiraan kerana walaupun berhadapan dengan kekurangan seperti ketiadaan bekalan elektrik, air, dan rangkaian telefon, semua itu menjadi berkat yang menyatukan peserta dan penganjur untuk lebih fokus kepada perjalanan rohani program. Sepanjang program ini, terlihat jelas bagaimana hubungan sesama peserta yang dahulunya jauh kini semakin rapat, dan yang rapat semakin erat dalam kasih dan persaudaraan Kristus. Sebelum pergi ke misa Pengutusan YLC8, para peserta dan penganjur mengisi evaluasi berkaitan program dalam pautan yang disediakan.
Misa Kudus Pengutusan yang dipimpin oleh Fr. Dafrinn berlangsung dengan penuh kesyukuran dan semangat rohani. Dalam homilinya, beliau menegaskan bahawa hari tersebut bukan sahaja menandakan penutupan rasmi YLC8, tetapi juga sambutan Hari Malaysia yang mengingatkan umat tentang kesatuan dan semangat pelayanan. Fr. Dafrinn menyatakan bahawa pengalaman sepanjang YLC8 meskipun diuji dengan ketiadaan bekalan elektrik, air, dan rangkaian telefon telah menjadi berkat tersendiri yang mengajar semua peserta untuk lebih fokus kepada pengisian rohani dan tujuan sebenar program. Beliau mengingatkan bahawa segala yang dimiliki di dunia hanyalah pinjaman dan kehidupan ini adalah persiapan menuju kehidupan kekal. Fr. Dafrinn turut mengajak para peserta untuk terus berdoa, berlari dalam pelayanan tanpa jemu seperti tema YLC8, “Orang yang berharap kepada Tuhan akan berlari dan tidak lesu.” Beliau juga meneguhkan para peserta dengan mengajak peserta untuk terus berdoa kepada Bonda Maria yang merupakan pengantara yang setia membawa doa kita kepada Yesus. Akhir homilinya, Fr. Dafrinn berpesan agar para belia sentiasa berdoa bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk komuniti, masyarakat, dan para pemimpin, agar kasih Tuhan dapat dirasai dan diamalkan dalam pelayanan mereka. Dengan penuh kasih, beliau menutup homili dengan seruan: “Berilah diri kamu kepada Gereja, kerana Gereja memerlukan belia untuk terus hidup.”
Sr. Noemi Mejia, koordinator Belia Keuskupan Sandakan dalam ucapannya menyampaikan penghargaan yang tulus kepada pihak Paroki Our Lady of Fatima, Beluran terutama sekali pihak St. Paul Ulu Dusun atas kesudian menjadi tuan rumah bagi YLC8. Beliau turut mengucapkan ucapan terima kasih yang mendalam kepada Local Organizing Team (LOT) atas komitmen dan kesungguhan mereka mengatasi cabaran sepanjang program, terutamanya dalam menangani isu bekalan elektrik dan air demi kelancaran aktiviti selama empat hari tiga malam. Tidak lupa juga Sr. Noemi turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, dalam memastikan YLC8 berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat dan kasih pelayanan. Dalam pesanan penutupnya, beliau menyemangati para belia agar tidak takut untuk terus melayani, dan agar tidak menjadikan kelemahan sebagai halangan dalam perjalanan iman, kerana seperti yang ditekankan beliau, “Belia akan terus hidup selagi mereka berani melangkah dalam pelayanan.”
Program Youth Leaders’ Camp 8 (YLC8) diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku sempena Hari Malaysia pada hari terakhir YLC8 dan diikuti dengan sesi bergambar mengikut kontinjen, tim penganjur dan semua peserta. Selesai sesi bergambar, para peserta dan penganjur makan tengahari bersama sebelum bersurai untuk kembali ke tempat masing-masing.