Lahad Datu, 20 Oktober 2025 – Paroki St. Dominic Lahad Datu telah menjadi tuan rumah kepada Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-18 Keuskupan Sandakan, yang diraikan dengan penuh kesyukuran melalui Perayaan Misa Kudus Kesyukuran.

Misa Kudus ini telah diselebrankan oleh Yang Mulia Uskup Datuk Julius Dusin Gitom, Uskup Keuskupan Sandakan, bersama para paderi dari seluruh keuskupan. Turut hadir ialah Msgr. Nicholas Stephen, yang mewakili Yang Mulia Uskup Agung John Wong dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu.


Perayaan penuh berkat ini menjadi ungkapan syukur seluruh umat beriman atas rahmat Tuhan yang senantiasa menuntun perjalanan iman Keuskupan Sandakan sepanjang 18 tahun — satu masa yang dipenuhi dengan berkat, pelayanan, dan kasih yang terus bertumbuh dalam terang Kristus.

Dalam homilinya, Uskup Julius mengajak umat untuk memandang ke belakang dengan rasa syukur, hidup masa kini dengan iman, dan melangkah ke hadapan dengan pengharapan, selaras dengan semangat Gereja Sinodal yang berjalan bersama sebagai satu tubuh Kristus.

Di penghujung Misa Kudus, Rev. Fr. Stanley William Matakim, Paderi Paroki St. Dominic, bersama Yang Mulia Uskup Datuk Julius Dusin Gitom, telah merasmikan dan mengumumkan bahawa Paroki St. Martin Telupid akan menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Diosis Ke-21 pada tahun 2028.

Perayaan berakhir dengan sesi bergambar bersama sebagai tanda kenangan dan kesyukuran, menandakan satu lagi babak penuh rahmat dalam perjalanan iman Keuskupan Sandakan.


Setelah Misa Kesyukuran selesai, gema keceriaan beralih ke dewan terbuka St. Dominic, di mana pelbagai persembahan pentas memeriahkan suasana.

