Artikel dan Gambar oleh: Clly Gulimit
TELUPID – Rekoleksi Katekis Pemimpin Ibadat Sabda dan Pelayan Komuni Tak Lazim Paroki Santo Martin Telupid telah berlangsung pada 6 Disember 2025 (Sabtu) sebagai landasan untuk memperbaharui semangat pelayanan bagi tahun 2026. Program ini merangkumi mesyuarat, sesi rekoleksi, Misa Kudus dan upacara pembaharuan komitmen serta pengutusan para katekis.
Program dimulakan dengan pendaftaran dan mesyuarat komiti yang memberi tumpuan kepada perancangan takwim tahun 2026 serta peneguhan peranan katekis dalam pelayanan pastoral. Mesyuarat ini menegaskan bahawa katekis bukan sahaja penyampai ajaran, tetapi juga saksi iman yang memupuk pertumbuhan rohani umat melalui teladan hidup.

Mesyuarat
Seterusnya, sesi rekoleksi yang dipimpin oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol memperdalam pemahaman tentang identiti dan tanggungjawab para pelayan, termasuk pemimpin ibadat sabda dan pelayan komuni. Pengisian menyentuh tatacara memimpin Ibadat Sabda, cara yang tepat dalam pengambilan serta pemberian Komuni Kudus, dan penjelasan pastoral melalui sesi soal jawab bersama paderi. Para peserta turut mengisi borang pembaharuan komitmen sebagai tanda kesediaan melayani dengan hati yang diperbaharui.
Kemuncak rekoleksi diteruskan dengan Misa Kudus Harian. Dalam homilinya, Fr. Dafrinn mengupas petikan Injil: “Tuaian memang banyak, tetapi pekerjanya sedikit.” Seruan ini mengajak umat untuk membuka hati terhadap panggilan pelayanan, sekali gus menyedarkan bahawa ladang Tuhan sentiasa memerlukan lebih ramai pekerja yang rela berkorban demi perkembangan rohani komuniti.

Rekoleksi
Kemudian, upacara pembaharuan komitmen diteruskan disusuli dengan pengutusan, di mana para pemimpin ibadat sabda serta pelayan komuni tak lazim memperbaharui janji pelayanan mereka untuk tahun 2026. Upacara ini melambangkan kesediaan mereka untuk terus menjadi alat belas kasih Tuhan di tengah umat, membawa Sabda dan Komuni Kudus kepada mereka yang memerlukannya, termasuk orang sakit dan yang tidak dapat mengikuti misa.

Pengutusan
Secara keseluruhan, rekoleksi ini menjadi wahana pembentukan rohani yang memperkukuh semangat setia, rendah hati dan ketaatan dalam pelayanan, agar setiap pelayan terus menjadi cahaya Kristus di tengah masyarakat.
