Artikel dan Gambar oleh: SOCCOM Kateketikal Paroki St. Martin, Telupid
TELUPID – Pada 18 Oktober 2025 yang lalu, seramai 39 orang bayi dan kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan dalam satu upacara yang disempurnakan oleh Pembantu Paderi Paroki St. Martin, Telupid, Fr. Daffrin Diwol. Sebelum upacara berlangsung, satu sesi rekoleksi telah diadakan pada 17 Oktober 2025 bermula dengan pendaftaran pada pukul 5:30 petang, diikuti taklimat ringkas oleh Pengerusi Komiti Kateketikal, En. Jamieus Yolong mengenai perjalanan rekoleksi tersebut.

Fr. Daffrin menegaskan bahawa Sakramen Pembaptisan amat penting kerana bukan hanya menghapuskan dosa asal dan menyatukan seseorang dengan Tritunggal Mahakudus, tetapi juga menjadi pintu untuk menerima sakramen-sakramen yang lain. Para ibu bapa diseru supaya sentiasa membimbing pertumbuhan iman anak-anak mereka manakala para penanggung pula diingatkan agar menjadi teladan iman yang baik.
Pada 18 Oktober, sebelum upacara pembaptisan bermula, En. Jamieus memberikan taklimat mengenai tata cara dan keperluan sepanjang upacara agar semuanya berlangsung dengan tertib. Semasa upacara berlangsung, para calon baptis melalui beberapa ritus penting seperti penandaan salib, pengurapan minyak katekumen pada dada, upacara pembaptisan, pengurapan minyak krisma, penyerahan kain putih, serta pemberian lilin bernyala oleh penanggung kepada ibu bapa calon baptis sebagai lambang Kristus yang bangkit dan menerangi kehidupan umat beriman.

Fr. Daffrin dalam homilinya menekankan semula bahawa Sakramen Pembaptisan bukan sekadar menghapuskan dosa, tetapi menjadikan seseorang anak Allah dan hidup dalam persatuan dengan-Nya. Beliau mengingatkan ibu bapa agar terus menghidupi iman mereka supaya dapat mendidik anak-anak yang baru dibaptis. Para penanggung juga diperingatkan agar tidak hanya menjadi penanggung di atas kertas, tetapi bertanggungjawab membantu ibu bapa dalam perkembangan iman kanak-kanak yang dipercayakan kepada mereka.

Upacara Pembaptisan Bayi dan Kanak-kanak ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama Fr. Daffrin, para penerima Sakramen Pembaptisan, ibu bapa, penanggung, AJK Kateketikal serta umat yang hadir.
