Artikel disediakan oleh: Jupini Kinti
Gambar: SOCCOM Perayaan

TELUPID – Paroki St. Martin, Telupid telah menyambut Perayaan dua dalam satu, iaitu Hari Natal Peringkat Paroki dan Ulang Tahun Pentahbisan Imamat Ke-9 Rev. Fr. Christopher Ireneus, pada 4 Januari 2026. Zon St. Susanna telah diamanahkan sebagai zon penganjur bagi perayaan ini, manakala KUK St. Emmanuel, Liningkung telah dipilih sebagai tuan rumah. Walaupun jumlah umat di KUK ini adalah kecil, semangat pelayanan, komitmen serta kerjasama yang ditunjukkan amat membanggakan. Persiapan fizikal dan pengurusan yang dimulakan lebih awal, disertai perancangan yang rapi serta kolaborasi yang baik, telah memastikan keseluruhan program dapat dilaksanakan dengan lancar.

Upacara Pemberkatan Dewan Terbuka St. Emmanuel

Sebelum Misa Kudus bermula, paderi paroki terlebih dahulu menyempurnakan upacara pemberkatan Dewan Terbuka St. Emmanuel, Liningkung. Kemudian, Misa Kudus dimulakan pada pukul 10:00 pagi, dipimpin oleh Fr. Christopher selaku paderi paroki St. Martin, Telupid. Dalam homilinya, paderi menegaskan bahawa karya keselamatan yang dibawa oleh Yesus Kristus adalah bersifat sejagat dan ditujukan kepada semua bangsa. Beliau mengingatkan bahawa perayaan Natal hanya akan benar-benar bermakna apabila umat sanggup merendahkan diri, meninggalkan sikap mementingkan diri serta melayani keperluan sesama dengan kasih dan keikhlasan.

Upacara Misa Kudus dipimpin oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus

Beliau turut menekankan bahawa pencapaian akademik dan kedudukan sosial tidak membawa erti sekiranya tidak disertai dengan keutuhan nilai keluarga dan kehidupan iman yang seimbang. Dalam realiti dunia moden yang semakin individualistik, umat dinasihati untuk terus berpaut kepada iman dan kebenaran sebagai asas kehidupan. Homili diakhiri dengan seruan agar seluruh umat sentiasa tekun dalam doa serta setia berjalan bersama Tuhan dalam setiap keadaan.

Selepas Misa Kudus, majlis diteruskan dengan sesi ucapan yang diadakan di kapela. Pengerusi penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua jawatankuasa serta umat Zon St. Susanna yang telah memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan perayaan ini. Kehadiran serta penyertaan umat daripada pelbagai KUK dan zon menjadi tanda nyata semangat kebersamaan serta semangat sinodal yang hidup dalam komuniti paroki.

Acara bergambar beramai-ramai

Dalam ucapan seterusnya, paderi paroki merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan. Beliau menegaskan bahawa perayaan ulang tahun kepaderian bukanlah perayaan untuk paderi semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama umat dan paderi untuk melayani, berfikir dan bekerja bersama dalam membina Gereja. Menurut beliau, kepaderian tidak pernah dimaksudkan untuk dipikul secara bersendirian, tetapi memerlukan sokongan serta keterlibatan aktif umat yang sanggup memberikan diri dengan sepenuh hati.

Penyempurnaan Gimik Perasmian Dewan Terbuka St. Emmanuel

Pemotongan Kek Kesyukuran Perayaan 2 dalam 1

Selepas sesi ucapan, majlis kesyukuran diteruskan di Dewan Terbuka St. Emmanuel, Liningkung. Majlis dimulakan dengan gimik perasmian dewan sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan atas kemudahan yang disediakan untuk kegunaan umat, diikuti dengan jamuan kesyukuran. Majlis kesyukuran ini turut diserikan dengan persembahan pentas daripada semua KUK dalam Zon St. Susanna yang menampilkan nyanyian dan tarian sebagai ungkapan kegembiraan serta kesyukuran sempena perayaan Natal. Persembahan khas daripada pihak keluarga paderi paroki turut diadakan sebagai tanda sokongan dan kebersamaan. Antara persembahan yang paling mencuri tumpuan ialah persembahan kumpulan Santa, yang bukan sahaja menghiburkan umat, malah membawa kegembiraan melalui pengagihan hadiah kepada kanak-kanak dan warga emas. Selain itu, kuiz Kahoot dan cabutan nama bertuah yang menjadi acara selingan turut memeriahkan suasana majlis. Keseluruhan program berlangsung dalam suasana tertib, harmoni dan penuh semangat persaudaraan.

Penyertaan Kuiz Kahoot

Acara pengagihan hadiah daripada Kumpulan Santa kepada kanak-kanak

Persembahan Tarian oleh KUK St. Maria Ratu Rosari, Mayvin

Majlis diakhiri dengan doa penutup yang dipimpin oleh Seminarian Joerexy Jika sebagai tanda kesyukuran serta penyerahan seluruh perayaan kepada Tuhan. Secara keseluruhannya, perayaan ini menjadi medan untuk memperkukuhkan kesatuan umat, memperdalam penghayatan iman serta memperbaharui komitmen bersama dalam melayani Gereja sebagai Umat Allah.