Artikel disediakan oleh: Clly Gulimit
Gambar: MPP

TELUPID – Perhimpunan Pastoral Paroki St. Martin, Telupid berasaskan dokumen Fratelli Tutti dengan tema “Saudara Sekalian” telah berjaya dilaksanakan pada 7 Mac 2026 (Sabtu) bertempat di Dewan Terbuka Bishop Datuk Simon Fung, Gereja St. Martin, Telupid. Program ini menghimpunkan seramai 136 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai pelayanan mewakili seluruh paroki.

Perhimpunan dimulakan dengan sesi pendaftaran seawal pukul 6:30 pagi diikuti dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol, Pembantu Paderi Paroki. Perayaan Ekaristi ini menjadi asas rohani bagi seluruh perjalanan program, sekali gus menyatukan umat dalam doa dan kesyukuran. Seterusnya, para peserta menikmati sarapan yang disediakan melalui gerai komuniti yang beroperasi sepanjang program berlangsung.

Bagi menyemarakkan suasana, sesi Time of Life diadakan sebagai persediaan rohani dan fizikal peserta melalui nyanyian pujian. Selepas itu, setiap zon telah membentangkan laporan pelaksanaan program Fratelli Tutti di peringkat masing-masing, sama ada di KKD, KUK mahupun zon. Pembentangan ini bukan sahaja menampilkan pelbagai inisiatif yang telah dijalankan, malah turut membuka ruang untuk berkongsi cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan aktiviti.

Pembentangan daripada Wakil Zon St. Thomas.

Dalam sesi seterusnya, Fr. Christopher menekankan bahawa perhimpunan ini merupakan satu usaha bersama untuk memperkukuh iman serta memperdalam penghayatan hidup sebagai umat Tuhan. Beliau turut mengingatkan bahawa setiap individu dipanggil untuk memainkan peranan aktif dalam Gereja dan masyarakat, selaras dengan semangat pelayanan dan kesatuan.

Sesi Bersama Fr. Christopher Ireneus

Hasil sintesis yang dibentangkan oleh Saudari Fetwinda menunjukkan bahawa umat semakin menyedari kepentingan penglibatan aktif dalam kehidupan Gereja. Penekanan diberikan kepada usaha memperdalam iman, memperkasakan pelayanan serta memupuk semangat kesatuan dan kerjasama. Walau bagaimanapun, beberapa cabaran turut dikenal pasti, antaranya kurangnya penglibatan umat, kekangan masa serta keperluan bimbingan rohani yang berterusan. Oleh itu, pelbagai cadangan telah dikemukakan seperti memperbanyakkan aktiviti pembinaan iman, meningkatkan komunikasi pastoral dan menggalakkan penyertaan semua lapisan umat.

Seiring dengan itu, sesi perbualan rohani dijalankan dalam kumpulan kecil bagi membantu peserta mengenal pasti “salib” yang dihadapi dalam kehidupan komuniti Gereja. Melalui perkongsian ini, para peserta diajak untuk menyedari kepentingan iman, kepedulian serta keterlibatan aktif dalam kehidupan beriman. Di samping itu, sesi ini turut menekankan kepentingan kesetiaan terhadap ajaran dan tradisi Gereja agar komuniti iman terus hidup dan saling menyokong.

Sesi Perbualan Rohani

Seterusnya, peserta diberi peluang untuk berkongsi hasil perbualan rohani, sementara tim sintesis merumuskan dapatan setiap kumpulan. Rumusan tersebut telah disampaikan oleh Saudara Raynold yang mengajak para peserta melihat dapatan ini sebagai satu renungan peribadi. Beliau menegaskan bahawa antara “salib” utama yang dihadapi komuniti ialah kurangnya komitmen, penyertaan dan kesedaran iman dalam kalangan umat, sehingga tanggungjawab pelayanan sering dipikul oleh segelintir individu sahaja. Selain itu, cabaran seperti keletihan dalam pelayanan, tekanan kehidupan harian, penglibatan golongan muda yang masih rendah serta kelemahan dalam komunikasi dan kesatuan turut memberi kesan kepada kehidupan komuniti.

Rumusan disampaikan oleh Sdra Raynold

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa sekiranya keadaan ini berterusan, ia boleh melemahkan kehidupan iman, merenggangkan hubungan persaudaraan serta menjejaskan kesinambungan generasi muda dalam Gereja. Justeru, seluruh umat diajak untuk memperbaharui komitmen, memperkukuh kesatuan dan menghidupkan semangat pelayanan demi membina komuniti Gereja yang lebih kukuh dan berdaya tahan.

Selain itu, pembentangan mengenai hala tuju pastoral oleh Fr. Christopher turut memberikan penekanan kepada kepentingan membina Gereja yang hidup, inklusif dan berpusatkan Kristus. Umat diajak untuk melihat diri bukan sekadar sebagai penerima, tetapi sebagai murid yang aktif dalam pelayanan dan perutusan Gereja. Pendekatan pastoral yang lebih menyeluruh perlu diambil, termasuk memperkukuh pembinaan iman, memperluas penglibatan umat di semua peringkat, membentuk kepimpinan serta memperkasa penglibatan golongan muda. Di samping itu, penekanan juga diberikan kepada kepentingan berjalan bersama sebagai Gereja sinodal yang sentiasa terbuka kepada bimbingan Roh Kudus.

Dalam semangat itu, umat juga diajak untuk memahami bahawa kehidupan Kristian tidak terpisah daripada salib Kristus. Musim Prapaskah menjadi kesempatan kepada setiap anggota komuniti untuk memikul salib bersama, bukan sahaja secara bersendirian, tetapi sebagai satu tubuh dalam Kristus. Cabaran, penderitaan, dan kelemahan yang dialami tidak dilihat sebagai beban individu semata-mata, tetapi sebagai peluang untuk saling menguatkan, menyokong, dan mengasihi antara satu sama lain. Seperti yang diungkapkan dalam Sabda Tuhan, “Pikullah beban satu sama lain” (Galatia 6:2), komuniti beriman dipanggil menjadi ruang di mana kasih Kristus nyata melalui solidariti dan pengorbanan.

Program Menderma Darah – Menyahut Semangat Fratelli Tutti

Para Peserta Perhimpunan Pastoral Paroki

Sebagai penutup, program diakhiri dengan sesi bergambar dan gotong-royong sebelum para peserta bersurai. Sepanjang perhimpunan ini juga, Program Derma Darah telah dijalankan dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Ranau sebagai tanda menyahut semangat Fratelli Tutti, iaitu persaudaraan dan kepedulian terhadap sesama. Secara keseluruhannya, Perhimpunan Pastoral Paroki ini menjadi titik pertemuan yang bermakna dalam usaha memperkukuh iman, mempererat kesatuan serta menyemarakkan semangat pelayanan dalam kalangan umat. Semoga semangat “Saudara Sekalian” terus dihidupi dalam kehidupan seharian, sehingga komuniti Gereja semakin berkembang sebagai komuniti yang hidup dan bersatu.