TELUPID – Lebih 60 orang peserta yang terdiri daripada paderi, ahli Majlis Pastoral Paroki (MPP), staf gereja, ahli komiti serta ahli keluarga telah menyertai Retret Majlis Pastoral Paroki Telupid yang berlangsung pada 27 hingga 28 Februari 2026 di Eroney Garden, Kg. Wasai, Telupid. Retret ini dianjurkan sebagai kesempatan untuk memperkukuh iman, memperbaharui semangat pelayanan serta mengeratkan hubungan persaudaraan dalam kalangan para pelayan Gereja bersama ahli keluarga.
Program retret dimulakan pada petang Jumaat dengan ketibaan peserta, pendaftaran serta persiapan tempat. Aktiviti diteruskan dengan Ibadat Jalan Salib yang dipimpin oleh Sdra. Raynold Thomas yang membawa para peserta merenungkan sengsara dan pengorbanan Kristus sebagai sumber kekuatan dalam kehidupan dan pelayanan. Pada sebelah malam pula, para peserta menikmati makan malam bersama sebelum meneruskan aktiviti santai dan permainan yang bertujuan mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kebersamaan antara ahli MPP, staf gereja dan ahli keluarga.

Ibadat Jalan Salib
Keesokan harinya, program dimulakan dengan Misa Kudus pada waktu pagi yang menjadi pusat kepada keseluruhan retret. Dalam homili yang disampaikan oleh Fr. Christopher, para peserta diingatkan bahawa sebagai anak-anak Allah, setiap orang dipanggil untuk hidup menurut “DNA rohani” Allah iaitu kasih, belas kasihan dan pengampunan. Walaupun manusia sering terluka dan sukar mengampuni, Yesus mengajak umat untuk belajar mengasihi seperti Bapa di syurga, termasuk mendoakan mereka yang menyakiti kita. Melalui doa dan rahmat Tuhan, hati manusia dapat diubah sehingga mampu membawa kasih dan kebaikan kepada sesama.
Selepas Misa Kudus, para peserta menikmati sarapan bersama sebelum meneruskan program dengan Sesi 1: Pemuridan Pelayanan yang dipimpin oleh Fr. Dafrinn Diwol dengan tema “Dibentuk untuk Melayani, Melayani untuk Membentuk Orang Lain.” Melalui sesi ini, para peserta diajak untuk memahami bahawa pelayanan dalam Gereja bukan sekadar melaksanakan tugas, tetapi juga merupakan panggilan untuk membina dan membimbing orang lain melalui teladan hidup serta kesediaan untuk melayani.

Sesi renungan berbicara bersama alam
Seterusnya, para peserta mengikuti Sesi 2: Bersahabat dengan Alam, iaitu sesi renungan secara individu untuk mendengar suara Tuhan melalui alam ciptaan-Nya. Renungan ini berpandukan sabda Tuhan daripada Matius 5:14–16 tentang panggilan menjadi terang dunia, yang mengajak umat untuk memancarkan kebaikan melalui kehidupan dan perbuatan agar Tuhan dimuliakan.

Sesi perkongsian dalam kumpulan
Pengalaman dan refleksi yang diperoleh daripada sesi tersebut kemudiannya dikongsi dalam Sesi 3, di mana para peserta dibahagikan kepada lima kumpulan kecil untuk sesi perkongsian. Melalui perkongsian ini, para peserta saling mendengar, menguatkan serta menyedari peranan masing-masing dalam pelayanan Gereja.

Ahli MPP bersama Paderi Paroki dan Pembantu Paderi Paroki.
Sebagai penutup program, para peserta turut mengikuti aktiviti “Bonding Time” yang diadakan secara santai. Aktiviti ini memberi peluang kepada semua peserta untuk terus memupuk semangat persaudaraan dan kebersamaan sebelum mengakhiri retret dan bertolak pulang pada sebelah petang.

Gambar beramai-ramai sebelum pulang.
Secara keseluruhannya, retret ini diharapkan dapat memperbaharui semangat para ahli MPP serta semua yang terlibat agar terus setia dalam pelayanan, saling menyokong antara satu sama lain serta menjadi saksi iman yang membawa terang Kristus kepada komuniti dan masyarakat.
