FELDA SAHABAT, 4 Oktober 2026 – Majlis Perasmian dan Pemberkatan Chapel Hati Kudus di Kompleks Baiduri Ayu berlangsung pada Ahad dalam suasana penuh kesyukuran dan sukacita, dengan kehadiran para pemimpin gereja, wakil komuniti serta umat yang bersama-sama meraikan peristiwa bermakna itu.

Majlis tersebut melibatkan Uskup Keuskupan Sandakan, Rt. Rev. Datuk Julius Dusin Gitom, dan Paderi Paroki St. Dominic, Lahad Datu, Rev. Fr. Stanley W. Matakim. Turut hadir ialah Regional Controller Wilayah Sahabat Selatan, Tuan Joskin Modzintan, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP), Willie Binati, bersama ahli-ahli MPP serta pengerusi-pengerusi outstasi dari St. Gabriel Tungku dan St. Peter Kunak.

Sambutan yang menggalakkan dapat dilihat apabila ruang chapel dipenuhi umat yang hadir. Sebahagian umat terpaksa berada di luar chapel, dengan khemah disediakan sebagai ruang tambahan. Malah, terdapat juga umat yang tidak mendapat tempat duduk.

Atur cara majlis merangkumi perarakan, perayaan Misa Kudus, upacara pemberkatan dan perasmian Chapel Hati Kudus. Rangkaian acara tersebut menjadi tumpuan utama sambutan yang menghimpunkan umat dalam suasana doa dan kesyukuran.

Sambutan turut diserikan dengan persembahan koir daripada Katekatikel Chapel Hati Kudus dan umat St. Gabriel Tungku. Persembahan tarian daripada Pusat Paroki St. Dominic, St. Gabriel dan Chapel Hati Kudus turut memeriahkan majlis.

Selain acara keagamaan dan persembahan, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan, termasuk cabutan bertuah dan jamuan. Gerai makanan, jualan barang kudus, jualan aksesori serta ruang fotografi (photobooth) turut disediakan untuk para pengunjung.

Dalam homilinya sempena pemberkatan dan perasmian Chapel Hati Kudus, Uskup Keuskupan Sandakan menyampaikan mesej tentang “Kebun Anggur” sebagai peringatan mengenai tanggungjawab yang diamanahkan kepada setiap individu.

Mesej tersebut menekankan bahawa setiap orang mempunyai “kebun anggur” masing-masing yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab, termasuk keluarga dan amanah dalam kehidupan seharian. Begitu juga dengan bangunan chapel yang perlu dipelihara bersama agar terus menjadi tempat umat berkumpul, bersyukur dan memuliakan Tuhan.

Mesej itu mengajak umat untuk bukan sahaja menghargai Chapel Hati Kudus sebagai tempat ibadat, tetapi turut mengambil tanggungjawab dalam menjaga dan memeliharanya demi kepentingan seluruh komuniti.

Majlis Perasmian dan Pemberkatan Chapel Hati Kudus menjadi satu kesempatan bermakna bagi umat untuk berhimpun, mengeratkan persaudaraan dan memperkukuh kehidupan iman. Semoga setiap umat terus setia memelihara “kebun anggur” yang telah diamanahkan kepada mereka, baik dalam keluarga mahupun komuniti gereja, demi kemuliaan Tuhan.