Artikel dan Gambar: Majlis Pastoral Paroki St. Martin, Telupid

TELUPID – Pada 6 September 2025 yang lalu, Paroki St. Martin Telupid telah menganjurkan Study Day berfokuskan dokumen Gereja Fratelli Tutti di Dewan Terbuka Bishop Datuk Simon Fung. Program ini berlangsung dari pukul 7:00 pagi hingga 5:30 petang dan disertai oleh umat dari seluruh paroki. Tujuan utamanya adalah untuk mendalami mesej sosial yang ingin disampaikan oleh Paus Fransiskus melalui dokumen ini, agar ia dapat difahami dan dihidupi oleh seluruh umat.

Seawal pukul 7:00 pagi, para peserta mendaftar sebelum mengikuti Misa Kudus pembukaan pada pukul 7:30 pagi. Selesai misa, pendaftaran diteruskan dan peserta berpeluang menikmati sarapan yang disediakan di gerai-gerai sekitar. Suasana penuh mesra ini menjadi awal yang baik untuk mempersiapkan hati serta minda dalam mengikuti sesi-sesi seterusnya.

Seterusnya, Sesi 1 dimulakan dengan “Flashback” oleh Clly Gulimit yang membawa peserta mengimbas kesinambungan ajaran Gereja melalui tiga dokumen penting: Evangeli Gaudium, Laudato Si’, dan Amoris Laetitia. Peserta diberi ruang untuk merenung pengalaman peribadi serta berkongsi dalam kumpulan kecil melalui perbualan rohani tentang kesan dan cabaran yang dialami berkaitan dokumen-dokumen tersebut.

Kemudian, dalam Sesi 2, Kevin Amit memperkenalkan secara ringkas dokumen Fratelli Tutti dengan memberi gambaran awal tentang isi kandungan serta bagaimana dokumen ini melanjutkan ajaran Paus Fransiskus. Penerangan ini membuka jalan untuk peserta memahami lebih mendalam mesej utama dokumen tersebut.

Program diteruskan dengan Sesi 3 yang disampaikan oleh Rev. Fr. Dafrinn Diwol. Beliau menjelaskan isi penting Fratelli Tutti dan mengaitkannya dengan kehidupan umat di paroki. Peserta kemudian berbincang dalam kumpulan mengenai pemahaman mereka serta cara menghidupi mesej persaudaraan sejagat dalam kehidupan harian. Hasil perbincangan dipersembahkan melalui aktiviti Gallery Walk, di mana setiap kumpulan dapat saling belajar antara satu sama lain.

Sebagai langkah konkrit, sesi Deklarasi & Tindakan dikendalikan oleh Pengerusi MPP, Albert Andau Paulus Andau. Peserta bersama-sama merumuskan tiga cadangan utama iaitu: gotong-royong, pertemuan KKD, dan program ziarah kasih sebagai usaha menghidupi mesej Fratelli Tutti di peringkat komuniti. Cadangan ini akan dilaksanakan mengikut zon masing-masing dan laporan pelaksanaannya akan dibentangkan dalam Perhimpunan Pastoral Paroki pada awal tahun 2026.

Akhir sekali, program ditutup dengan doa penutup oleh Fr. Dafrinn sebelum para peserta bergotong-royong mengemas dewan. Suasana penuh semangat kekeluargaan dan persaudaraan jelas dirasakan sepanjang hari. Sebagai penutup, diharapkan agar program ini bukan sekadar sebuah pertemuan rohani, tetapi menjadi titik tolak bagi umat Paroki St. Martin untuk terus menghidupi nilai persaudaraan sejagat. Semoga mesej Fratelli Tutti dapat diterjemahkan dalam tindakan nyata yang membawa kedamaian, kerjasama, dan kasih kepada seluruh komuniti.