Artikel : Olivia Oranda Stonner
Gambar : SOCCOM
TELUPID – Umat Paroki St. Martin, Telupid, dengan penuh kesyukuran dan sukacita telah menerima Salib menuju Konvensyen Pastoral Malaysia (MPC), yang menjadi lambang kesatuan, iman serta perjalanan sinodal Gereja Katolik di Malaysia.

Ketibaan rombongan dari Paroki St. Dominic Lahad Datu
Salib tersebut tiba di Paroki St. Martin, Telupid pada 13 Disember 2025 sekitar pukul 3:30 petang, sehari sebelum Upacara Penerimaan Salib. Ketibaan rombongan dari Paroki St. Dominic, Lahad Datu disambut oleh Pembantu Paderi Paroki, Rev. Fr. Dafrinn Diwol, bersama beberapa ahli Tim Perjalanan Salib Telupid. Salib berkenaan ditempatkan sementara di Dewan Terbuka Bishop Datuk Simon Fung sebelum penyerahan rasmi pada keesokan harinya.

Perarakan Salib oleh Tim Perjalanan Salib Lahad Datu
Pada pukul 6:30 petang, satu jamuan makan bersama telah diadakan sebagai tanda kebersamaan, persaudaraan dan kesatuan dalam pelayanan. Seterusnya, raptai penuh tatacara penerimaan Salib dijalankan bagi memastikan kelancaran upacara penerimaan Salib dalam perayaan Misa Kudus.
Penyerahan Salib secara rasmi berlangsung pada 14 Disember 2025 semasa Perayaan Misa Kudus Minggu Adven Ketiga. Upacara ini diserikan dengan kehadiran umat yang mengenakan pakaian tradisional, melambangkan kepelbagaian budaya yang bersatu dalam iman kepada Kristus. Perarakan Salib diiringi alunan muzik tradisional kulintangan serta paluan gong, membangkitkan semangat keimanan dan disambut dengan rasa bangga serta syukur atas penerimaan Salib di paroki ini.

Upacara penerimaan salib

Misa Kudus dipimpin oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus, Paderi Paroki St. Martin, Telupid
Perayaan Misa Kudus dipimpin oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus selaku Paderi Paroki, bersama Pembantu Paderi Paroki St. Martin, Telupid, Rev. Fr. Dafrinn Diwol. Perayaan Ekaristi ini menjadi detik yang amat bermakna bagi seluruh umat yang hadir. Dalam homilinya, Fr. Christopher mengajak umat merenungkan satu persoalan mendalam: “Adakah saya memilih salib yang indah dan menyenangkan, atau adakah saya juga berani menerima salib kehidupan yang tidak sempurna, berat, dan penuh luka?” Pertanyaan ini menjadi undangan kepada setiap umat untuk memikul salib kehidupan dengan setia, bukan sahaja ketika ia mudah dan menyenangkan, tetapi juga ketika ia berat dan penuh cabaran.
Sebelum berkat penutup, satu tayangan video mandat daripada Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Julius Dusin Gitom, Uskup Keuskupan Sandakan, telah dipersembahkan. Dalam mandat tersebut, Bapa Uskup menyeru agar setiap program sepanjang Perjalanan Salib ini menjadi ruang bagi umat menerima inspirasi serta kekuatan iman, agar mereka terus setia mengikuti Kristus dan memberi kesaksian tentang kasih serta penyelamatan-Nya, khususnya kepada mereka yang belum mengenali Tuhan Yesus. Bapa Uskup turut menegaskan bahawa Gereja dipanggil untuk berjalan bersama dalam semangat sinodaliti, dengan saling mendengar dan saling memperhatikan antara satu sama lain. Selepas Misa Kudus, sesi bergambar diadakan sebagai tanda kenangan disusuli dengan acara makan bersama sebelum rombongan dari Lahad Datu bertolak pulang.

Sesi bergambar bersama Tim Perjalanan Salib Lahad Datu

Sesi bergambar bersama Tim Perjalanan Salib Telupid
Salib akan berada di Paroki St. Martin, Telupid bermula 14 Disember 2025 hingga 14 Mac 2026 sebelum dihantar ke Misi Paitan. Sepanjang tempoh tersebut, Salib ini akan dibawa ke hampir semua stesen luar agar seluruh umat berpeluang mengambil bahagian dalam doa serta pengisian rohani. Semoga kehadiran Salib ini menjadi sumber kesatuan umat di seluruh paroki serta memperbaharui iman dan komitmen mereka untuk terus berjalan bersama sebagai murid-murid Kristus.
