Artikel disediakan oleh: Jupini Kinti
Gambar: SOCCOM Perayaan
TELUPID – Pada 25 Disember 2025 (Khamis), Komuniti Umat Katolik (KUK) St. Emmanuel, Liningkung, salah sebuah stesen luar di Paroki St. Martin, Telupid telah mengadakan sambutan Hari Natal dalam suasana yang sederhana namun penuh kemeriahan serta semangat kesatuan. Kehadiran kira-kira 200 orang umat jelas mencerminkan kebersamaan komuniti di kapela ini dalam menyambut kelahiran Yesus Kristus sebagai tanda kasih dan pengharapan.
Perayaan dimulakan dengan Ibadat Sabda Hari Natal yang dipimpin oleh Katekis Clly Gulimit. Ibadat berlangsung dengan penuh penghayatan, mengajak umat untuk merenung makna sebenar Natal sebagai perayaan kasih, harapan dan keselamatan. Sejurus selepas ibadat, sesi bergambar beramai-ramai diadakan di dalam kapela sebagai kenangan indah bersama.
Sambutan kemudiannya diteruskan dengan majlis kesyukuran yang berlangsung di Dewan Terbuka St. Emmanuel. Majlis dimulakan dengan ucapan Pengerusi Penganjur, Pn. Veloriza Monggong, yang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh umat, khususnya barisan jawatankuasa kerja, atas komitmen dan kerjasama yang amat cemerlang dalam menjayakan sambutan ini. Beliau berharap agar semangat kebersamaan dan kekitaan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, di samping terus memperkukuh pembangunan iman serta hubungan persaudaraan dalam kalangan umat.

Ucapan pengerusi penganjur
Selain kesyukuran sempena Hari Natal, umat yang menyambut hari lahir dalam tempoh bulan September hingga Disember turut diraikan. Lagu “Syukur” dinyanyikan sebelum acara pemotongan kek dan diteruskan dengan jamuan makan secara potbless. Suasana semakin meriah dengan pelbagai acara sukaneka dan persembahan pentas, yang diserikan lagi dengan cabutan nama bertuah, sekali gus menghiburkan semua umat yang hadir.

Sesi bergambar selepas ibadat hari Natal
Kemeriahan sambutan Natal turut diserlahkan dengan kehadiran kumpulan Santa Claus, yang persembahannya bukan sahaja mencuit hati malah berjaya menceriakan suasana serta mengundang tawa dan kegembiraan dalam kalangan umat.

Persembahan istimewa daripada kumpulan Santa
Kemuncak acara ialah cabutan nama bertuah bagi hadiah utama dan hadiah misteri. Hadiah utama berupa sebuah telefon pintar telah dimenangi oleh Adik Thedd, manakala hadiah misteri berupa wang tunai berjumlah RM750 menjadi milik Pn. Arni Soitoh, sekali gus menambah seri dan kegembiraan sambutan tahun ini.

Acara sukaneka kanak-kanak

Pemenang hadiah misteri
Sekitar pukul 5:00 petang, sambutan Perayaan Krismas ini melabuhkan tirainya dengan doa penutup yang dipimpin oleh Katekis Jimis Peter. Keseluruhan sambutan ini bukan sahaja membawa kegembiraan dan kemeriahan, malah menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan kekitaan serta memperbaharui iman umat dalam semangat Natal yang penuh kasih, damai dan pengharapan.
