Komiti Kateketikal Misi Paitan
Kursus Kateketikal Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) Fasa 2 telah dilaksanakan selama tiga (3) hari, iaitu pada 6 hingga 8 Februari 2026, bertempat di Bilik Mesyuarat St. Francis of Assisi, Kg. Sukang. Kursus ini dianjurkan oleh Komiti Kateketikal Misi Paitan dan telah dihadiri oleh seramai 28 orang Katekis Pembimbing dari setiap Kapela di Misi Paitan.

Sesi bergambar bersama Rev. Fr. Arthur John, Sem. Frenddy dan Sr. Rose Ginibun.
Hari pertama kursus dimulakan dengan pendaftaran peserta, diikuti dengan Misa Harian yang diselebrankan oleh Rev. Fr. Arthur John. Seterusnya, para peserta telah diberikan penerangan berkaitan pengenalan IKD serta penjelasan mengenai perbezaan peranan antara Katekis PMG dan Fasilitator IKD yang disampaikan oleh Sr. Rose Ginibun.

Sr. Rose memberikan penerangan mengenai IKD.

Sesi perkongsian

Pada hari kedua, kursus dimulakan dengan doa pagi sebelum diteruskan dengan sesi perbincangan mengenai pertemuan-pertemuan dalam buku IKD. Para Katekis Pembimbing turut diberikan pendedahan serta latihan praktikal untuk mengendalikan pengajaran mengikut bab pertemuan masing-masing. Sepanjang sesi ini, para peserta menunjukkan penglibatan yang aktif melalui perkongsian idea dan pendekatan kreatif dalam pelaksanaan pengajaran.


Pengerusi Kateketikal Misi Paitan Pn. Louissa sedang menyampaikan cenderahati kepada Sr. Rose.
Hari ketiga kursus diteruskan dengan Misa Kudus yang diselebrankan oleh Rev. Fr. Arthur John. Dalam homilinya, beliau menekankan kepentingan setiap individu untuk menjadi “garam yang berguna” kepada sesama, khususnya dalam pelayanan katekesis.

Katekis Pembimbing di setiap Kapela di Misi Paitan.
Secara keseluruhannya, kursus ini telah memberi manfaat yang besar kepada para Katekis Pembimbing. Melalui sesi perkongsian dan latihan yang dijalankan, para peserta telah memperoleh pengetahuan serta kemahiran baharu bagi memperkukuhkan pelayanan katekesis di kapela masing-masing. Para peserta juga menyatakan kesediaan untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh secara lebih terancang, berkesan, dan berterusan.
