Kimberly Tan
Katedral St. Mary, Sandakan: Pada 30hb Mac 2025, Komiti Caritas Paroki bersama Diakon Ricki Boy Hasim telah menganjurkan satu program yang sangat menarik iaitu ‘HOME VISIT’. Program ini adalah salah satu program Pra-Paskah yang membawa harapan kepada mereka yang memerlukan. Program bermula sekitar jam 1 pm dimana Komiti Caritas Paroki serta Diakon Ricki telah berkumpul dan bersama-sama bergerak ke lokasi yang telah ditetapkan.
Setelah tiba di rumah umat itu, mereka menemui dan beramah mesra sebelum memulakan kerja-kerja amal.
Selepas selesai memberi komuni kepada umat yang tua dan sakit itu, Diakon Ricki dan semua ahli Caritas bersiap sedia untuk membantu membersihkan kawasan luar rumah beliau. Tugasan membersihkan kawasan luar rumah seperti potong rumput, membersih tingkap dan menyapu diberikan kepada kaum lelaki manakala kaum wanita membersihkan kawasan dalam rumah seperti mengemop lantai, tukar langsir, dan mengelap.
Kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan sekitar jam 2.30pm. Sebelum bersurai, mereka sekali lagi mengambil peluang bercerita dengan umat itu sambil minum petang bersama.
Destinasi seterusnya, mereka mengunjungi mangsa kebakaran yang berlaku baru-baru ini. Kebakaran itu telah menyebabkan mereka kehilangan semua harta benda. Oleh sebab itu, Komiti Caritas Paroki dan Diakon Ricki memberi sedikit sumbangan kasih kepada keluarga mangsa itu.