Upacara Penerimaan Katekumen Tahap 1 sedang dijalankan dengan disaksikan oleh para umat.

Sandakan: Ahad, 13hb September 2009 bertempat di Katedral St. Mary, Sandakan, seramai 12 orang kanak-kanak dan 38 orang dewasa telah berjaya melalui proses peralihan ke Fasa Kedua Inisiasi Kristian Kanak-kanak (IKK) dan Inisiasi Kristian Dewasa (IKD).

Selebran, Fr Thomas Makajil.

Upacara Penerimaan Menjadi Katekumen Tahap Pertama telah dijalankan sewaktu Misa Kudus Ahad yang disempurnakan oleh selebran, Fr Thomas Makajil. Upacara tersebut merupakan satu upacara penerimaan katekumen bagi sesi 2009-2010.


Ketika penyampaian Alkitab.
“Terimalah Injil, Khabar Baik Yesus Kristus, PuteraNya.”

Penyelaras-penyelaras adalah terdiri daripada saudari Dina Sylvester (IKK) dan saudara Lawrence Gundali dibantu oleh saudara Edmund Bailon (IKD). Sekiranya para katekumen yang baru ini setia hadir di setiap pertemuan pada hari Ahad, jam 10.30pg, iaitu selepas Misa Kudus Bahasa Melayu, mereka akan menjadi calon-calon baptis semasa Paska pada tahun hadapan.


Upacara itu dirayakan selepas ‘Fasa Pertama’ (atau ‘Proses Penginjilan dan Pra-Katekumenat’). Beberapa orang ‘sahabat Gereja’ (simpatisan) mungkin memutuskan untuk memasuki Katekumenat selepas menghadiri 17 sesi pertemuan kateketikal “Perjalanan kita bersama” yang ditawarkan bagi Fasa ini. Jika belum bersedia untuk mencapai ‘perubahan permulaan’ dan berkeputusan untuk dibaptis, mereka masih diterima dalam perjumpaan-perjumpaan Komuniti Kristian Kecil (jika ada) dan haruslah menghadiri Misa Kudus pada setiap hari Ahad.

Upacara tersebut mengakhiri proses Pra-Katekumenat dan memulai proses Katekumenat bagi para ‘simpatisan’ yang dianggap sudah bersedia sepenuhnya untuk menjadi seorang katekumen. Umat setempat hendaknya diundang untuk menghadiri Upacara Penerimaan Katekumen dan setiap calon hendaklah didampingi seorang penanggung.

Kita, sebagai Katolik yang sudah menerima semua Sakramen haruslah memberi sokongan doa dan memperlihatkan contoh-contoh kerohanian bagi mereka yang baru terbuka hati untuk menerima panggilan Tuhan agar mereka sama-sama merasakan cinta Kasih Yesus. Dengan demikian, Gereja kita akan berkembang dan semakin teguh apabila kita menjadikan Kristus sebagai pedoman hidup. “ Berbahagialah mereka yang tidak melihat, namun percaya.” (YOH 20:29)