Telupid 7/2/10 – Buat pertama kalinya, team pelayanan koir paroki St Dominic Lahad Datu, St Paul Ulu Dusun dan Team pelayanan muzik belia St Mary Sandakan telah membuat satu lawatan muhibah ke St Martin Telupid.

Lawatan ke St Martin Telupid ini adalah kesinambungan lawatan Team pelayanan muzik belia St Mary Sandakan yang sebelum ini telah mengadakan lawatan ke St Paul Ulu Dusun dan St Dominic Lahad Datu.

Seramai 23 orang pelayan koir dan muzik dari ketiga-tiga paroki yang menyertai lawatan ini. Lawatan ini dilengkapkan dengan persiapan rohani yang dipimpin oleh Sr Liliana fsic pada malam sebelum lawatan tersebut di Chapel St Mary Sandakan.

Rector Paroki St Martin Rev Fr Marcellinus Pongking menyeru agar belia di St Martin dapat bergiat dengan aktif dalam pelayanan koir kerana koir amat penting dalam perayaan misa.
“Saya tidak sangka lawatan ini mendapat begitu banyak sambutan terutamanya daripada para belia St Martin dan objektif lawatan ini sedikit sebanyak telah tercapai” kata saudara Cristhoper Aban wakil dari Sandakan.

“Muzik dan belia memang tidak boleh dipisahkan, dengan itu saya mengharapkan agar mereka yang berminat dalam muzik sudi tampil dan menyahut panggilan dalam pelayanan di gereja” kata saudara Hildy Albert selaku kordinator koir St Martin.
Mereka yang menyertai lawatan ini masing-masing telah mendapat pengalaman baru dalam cara-cara untuk mengembangkan pelayanan koir di paroki masing-masing dan menyedari akan pentingnya tugas pelayanan ini.
Lawatan seumpama ini telah mengeratkan lagi hubungan di antara keempat-empat paroki team pelayanan koir dan muzik. 


 Antara aktiviti yang dijalankan adalah sesi suaikenal, tayangan slide, nyanyian bersama, perkongsian, beberapa permainan dan sesi bergambar bersama.

Shirley Yong