Tawau :  Hari Belia Sedunia pada 28 Mac 2010 lalu telah meninggalkan seribu kenangan buat belia-belia di Paroki Holy Trinity, Tawau khasnya. Seramai 150 orang belia turut serta dalam perarakan minggu Daun Palma dengan berpakaian putih yang menjadi warna pilihan pada hari tersebut. Pada masa yang sama, keempat-empat paroki di Keuskupan Sandakan  iaitu paroki St Mary Sandakan,  St Martin Telupid, St Dominic Lahad Datu dan Holy Trinity Tawau mengadakan program yang sama pada hari tersebut termasuklah pengutusan Tim Kerasulan Belia Paroki di setiap paroki masing-masing.


Selesai perayaan misa, program belia untuk Hari Belia Sedunia yang bertemakan “Guru yang baik, apa yang harus ku perbuat untuk memperoleh hidup yang kekal” untuk tahun ini bersambung di dewan paroki dengan pelbagai aktiviti yang menarik dimulai dengan kata-kata aluan dari Msgr Nicholas yang gembira melihat penyertaan ramai belia dan kemudiannya disusuli dengan  perkongsian dalam kumpulan mengenai pesanan Bapa Suci untuk tema WYD pada kali ini.
Selepas itu, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dalam aktiviti “Amazing Bible Race” yang baru diperkenalkan oleh tim. Jelas program pada hari tersebut menarik perhatian belia-belia yang hadir dan tergambar perasaan gembira di setiap wajah mereka serta terjalin persahabatan yang erat dikalangan semua yang hadir.
 Tim Kerasulan Belia Paroki (KBP) Tawau sesungguhnya sangat bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan dari Msgr Nicholas Ong, Fr Philip Muji, para religius serta semua umat yang turut menjayakan program pada hari tersebut.

felsa may