Gereja Our Lady of Fatima, Beluran
Bergambar bersama ahli Komiti Katekatikal Gereja OLOF, Beluran
Beluran: Pada Sabtu, 15hb hingga Ahad, 16hb Mei 2010, Sr Veronica Kandaung, fsic bersama Sr Liliana Gubod, fsic meneruskan seminar tersebut untuk Gereja Our Lady of Fatima (OLOF), Beluran yang merupakan stesen luar di bawah Paroki Katedral St Mary, Sandakan. Seramai lebih kurang 20 peserta hadir ke seminar ini.
Kata-kata Sr Veronica dalam sesi pembukaan membakar semangat para peserta untuk terus bekeja di ladang Tuhan melalui Pelayanan dalam Katekatikal.
“Jika dengan rela hati kita menjadi seorang Katekis, itu tandanya kita menyahut panggilan Tuhan untuk melayani. Penglibatan dalam apapun ministri termasuklah Ministri Katekatikal dapat menyempurnakan perutusan Sakramen Pembaptisan dan Sakramen Penguatan. Peranan Kateketikal dalam paroki melalui Komuniti Kristian Dasar (KKD) akan dapat mengatasi masalah seperti kekurangan tempat untuk belajar dan jarak ke kelas.”
Sepanjang seminar berlangsung, mereka telah menerima input yang sama seperti di Katedral St Mary dan turut diberi tugasan untuk menyiapkan kertas kerja bagi menganjurkan satu seminar pada tahun ini yang bertemakan “Ibubapa adalah Katekis yang Utama” (Parent are Primary Catechists) khas untuk para ibubapa di Gereja OLOF.
Sedang berbincang untuk bengkel pengukuhan peserta
Sewaktu Pembentangan Kertas Kerja mengikut Kumpulan
Saudari Pastia Barajuki, Pengerusi Komiti Katekatikal Gereja OLOF
menyampaikan sagu hati kepada Sr Veronica Kandaung, fsic
Seminar seumpama ini di peringkat Keuskupan Sandakan telah pun dijalankan di Paroki St Dominic, Lahad Datu dan St Martin, Telupid dan kini baru sahaja selesai untuk Paroki Katedral St Mary, Sandakan. Sr Veronica seterusnya akan ke Paroki Holy Trinity, Tawau pada tarikh yang akan ditetapkan dalam Mesyuarat Komisi Katekatikal Keuskupan Sandakan ketiga pada 5hb Jun 2010.
Harapan Sr Veronica agar lebih ramai umat terpanggil, khususnya dari kalangan ibubapa yang ingin menjadi katekis, menjadi penyebar khabar gembira bagi sesama.
Sr Liliana pula sempat berpesan, “Janganlah kita menjadikan alasan seperti tidak berpengalaman mengajar menghalang kita dari menjadi seorang Katekis. Berdoalah dan mintalah pertolongan dari Roh Kudus untuk bekerja dalam diri kita agar semuanya terjadi menurut kehendakNya.”
Oleh DSsj