Telupid : Perhimpunan Agung Kali Ke-2 Kerasulan Wanita Katolik (KWK) bermula 17 – 20 Mac bertempat di Gereja St Martin, telah memberikan impak yang sangat berguna terutama dalam tugas pelayanan dan komitmen mereka terhadap komuniti ini.

Dengan tema ‘Melayani Sesama Dengan Cintakasih Tuhan’ telah menghimpunkan peserta seramai 132 orang dengan Paroki St. Martin menghantar seramai 76 peserta, Katedral St. Mary dan Paroki St. Dominic seramai 23 peserta masing- masing dan Paroki Holy Trinity  seramai 10 peserta.

Bapa Uskup Julius Dusin Gitom merupakan selebran utama semasa upacara liturgi pembukaan pada hari pertama disusuli dengan acara suai kenal dan perasmian perhimpunan bertempat di lobi Asrama Desa St. Martin.

Dalam ucapan perasmian Bapa Uskup telah menyeru komuniti ini untuk terus memberikan pelayanan kepada KWK terutama di Diosis yang masih baru dengan berjalan bersama tanpa membelakangi tanggungjawab dalam keluarga masing-masing. Bapa Uskup turut mengumumkan tuan rumah persidangan pada 2012 adalah Paroki St. Dominic, Lahad Datu.

Sepanjang perhimpunan ini, ceramah-ceramah telah disampaikan oleh Bapa Uskup, Fr. Thomas Makajil, Fr. Jasery Gabuk, Sr. Appollonia fsic dan Sr. Liza fsic dengan setiap ceramah diakhiri dengan sesi renungan peribadi.

Penyelaras KWK Diosis, Puan Annie Rokneh yang menyifatkan perhimpunan kali ini amat memuaskan walaupun terdapat gangguan elektrik, telah mempengerusikan mesyuarat Agung Ke-2 pada hari  ketiga dengan dihadiri oleh AJK di setiap Paroki.

Hadir sepanjang perhimpunan ini ialah Pengerusi MPP, Albert Matusin dan Sr. Sylvia fsic.

Majlis penutup dijalankan pada malam Sabtu dengan persembahan koir oleh setiap paroki, para belia dan diserikan dengan persembahan oleh ketiga-tiga sister bersama Fr. Jasery. Ucapan mohon maaf juga telah disampaikan oleh Rev. Fr. Jasery selaku Paderi Paroki atas semua kelemahan dan kekurangan yang berlaku sepanjang program dijalankan.
 

Soccom, SMT