Sandakan : Para staff dari Pusat Kebajikan Good Shepherd (PKGS) yang diketuai oleh Sr. Maria Dipal RGS, bersama dengan Jellferlyne Joseph dan Stephanie Sabin serta pembimbing sukarela telah menganjurkan perayaan pesta Hari Natal Program Pembelajaran Kanak-kanak Gembala Baik di Gereja Katolik St. Mark Batu 12 pada Ahad, 18hb Disember 2011. Sambutan pesta Hari Natal tersebut telah dianjurkan khasnya untuk kanak-kanak dan para ibu bapa yang telah mengikuti program ini. Beberapa basis (KKD) dari Komuniti Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) juga telah dijemput untuk sama-sama memeriahkan pesta tersebut. Kelancaran dan kejayaan sambutan pesta Hari Natal ini adalah hasil bantuan dan kerjasama daripada pihak Kerasulan Wanita Gereja St. Mark serta komuniti KBKI – sikap dan keterbukaan mereka haruslah diberikan pujian.
Juruacara; Yakob Jhon (8 tahun), Elis Leyn (11 tahun), dan Jellferlyne Joseph
Antara jemputan yang hadir pada hari tersebut ialah En. Francis Tan dan keluarga, serta En. Dimeh Kyopo dan ahli Komiti Pastoral Gereja St. Mark yang lain. Kehadiran mereka juga telah menambahkan lagi kemeriahan sambutan pesta Hari Natal itu terutama sekali apabila En. Dimeh memberikan ucapan di mana beliau juga berasa sangat gembira dan bersyukur kerana beliau dapat berkumpul bersama-sama dengan komuniti Indonesia di Gereja St. Mark. Menurut beliau “…walaupun kita berasal dari tempat yang berlainan tetapi kita tetap adalah satu keluarga Kristian dan kita berkumpul serta bersatu di dalam nama Yesus Kristus walau di mana pun kita berada .” Beliau juga memberikan galakan dan sokongan kepada mereka untuk meneruskan usaha mereka bagi mendekati dan terlibat di dalam aktiviti atau pelayanan gereja.
Ucapan En. Dimeh Koyopo, Pengerusi Komiti Pastoral Gereja St. Mark
Sr. Maria memberikan ucapan dan doa penutup
Selain En Dimeh, Sr. Maria juga mengkongsikan pengalaman beliau selama satu tahun berjalan bersama dengan komuniti KBKI ini. Menurutnya, beliau telah melihat bintang terang yang bersinar melalui
- Perkembangan anak-anak dari segi akademik dan kokurikulum. Kini mereka boleh membaca, mengira, dan menulis.
- Penglibatan ibu bapa dalam menjayakan program ini seperti membantu memasak dan mengajar
- Perkembangan KBKI dengan tertubuhnya beberapa Basis (KKD)
- Proses rekonsiliasi antara sesama ahli komuniti KBKI.
- Sokongan dan kerjasama dari pihak gereja menyediakan ruang untuk menjalankan program ini.
Beliau juga telah menyatakan harapan beliau terhadap komuniti KBKI untuk tahun 2012 dan antaranya ialah
- Penglibatan komuniti KBKI di dalam membangun gereja setempat
- Meneguhkan iman dan membangun hidup berkomuniti
Lakonan oleh kanak-kanak Program Pembelajaran Kanak-kanak Gembala Baik
Tajuk: “Malam Natal Yang Penuh Makna”
Dengan tema “Gloria In-excelsis Deo” pesta Hari Natal ini diadakan bukan sahaja untuk memberikan kesempatan dan masa bagi mengumpulkan seisi keluarga komuniti Indonesia tetapi juga untuk meneguhkan lagi pengertian tentang erti sebenar Hari Natal. Seperti yang telah dilakonkan oleh beberapa kanak-kanak dari program ini dengan tajuk “Malam Natal yang penuh makna” di mana mesej yang disampaikan cukup jelas bahawa Hari Natal disambut setiap tahun adalah untuk senantiasa memperingati kita bahawa kelahiran Yesus Kristus ke dunia merupakan hadiah yang paling bermakna dan berharga yang telah dihadiahkan oleh Allah Bapa atas cinta kasih-Nya yang sangat besar untuk manusia. Oleh itu, sebagai umat Kristian kita haruslah menghargai dan merayakan Hari Natal dengan penuh riang gembira dan rasa syukur serta cinta kasih pada setiap tahun kerana Allah Bapa syurgawi telah memberikan kita Putera-Nya yang tunggal iaitu Yesus Kristus pada Hari Natal.
Koir oleh Ibu-ibu dari pengurusan dapur
Selain itu, pelbagai persembahan dan permainan telah diadakan bagi memeriahkan suasana dan seterusnya mewujudkan atau membina dan memperkukuhkan hubungan persaudaraan yang merupakan salah satu panggilan untuk kita sebagai keluarga Kristian. Antaranya ialah persembahan tarian dari kanak-kanak program ini, Basis Bt. 8 dan Basis Bt. 16, serta persembahan nyanyian dari ibu-ibu Gereja Basel dan St. Mark.
Sr. Maria Dipal RGS juga telah mengambil kesempatan pada hari tersebut untuk menyampaikan penghargaan dan tanda terima kasih beliau serta ahli PKGS yang lain kepada para ibu bapa yang telah menyumbangkan tenaga, masa, dan usaha secara sukarela untuk menjalankan Program Pembelajaran Kanak-kanak ini.
Akhir sekali, seperti kata Sr. Maria di dalam ucapan beliau”…bintang terang itu sebenarnya ada di dalam diri kita masing-masing dan ia hadir melalui pengalaman-pengalaman pahit dan manis, suka dan duka yang telah ditempuhi sepanjang tahun kerana pengalaman-pengalaman inilah yang membantu kita untuk terus berkembang dan membangun di dalam komuniti dan gereja”.
Nyanyian lagu ‘Kesukaan Pada Dunia’, ‘Anak Yesus Dilahirkan’ dan‘Merry Christmas’
Sekian, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kami kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Selamat menyambut Hari Natal dan Tahun Baru 2012!