Imelda Alfred
TELUPID – ‘ Ceramah Pembangunan Insan ’ yang dikendalikan oleh Sr.Maria Dipal RGS dari Religius Gembala Baik yang juga Pengerusi Komisi Pembangunan Insan Diosis Sandakan dan Saudara Francis Tan dari Pejabat Pastoral Diosis telah diadakan di Gereja Katolik St.Martin pada Sabtu 3 Mac yang lalu.
Seramai 52 orang peserta yang mewakili pelbagai kumpulan Gereja dan Komuniti Kristian Dasar di sekitar Paroki Telupid hadir mengikuti ceramah tersebut. Sesi ceramah bermula pada jam 9 pagi dengan doa pembukaan dipimpin oleh Sr.Maria.Dipal RGS.
Sdra Francis Tan |
Pembangunan insan melibatkan proses perubahan fizikal juga mental dan perubahan ini perlu dinilai dan didasari oleh Ajaran Sosial Gereja yang bermakna untuk komuniti Katolik kita. Umat Katolik samada individu, kumpulan atau komuniti harus respon kepada keperluan orang yang memerlukan seperti dalam kisah ‘Orang Samaria yang murah hati’ dalam Lukas 10 : 25-37. Saudara Francis Tan dalam ceramahnya menegaskan bahawa ajaran katolik sangat menitikberatkan mengenai kasih. Sepertimana Allah mengasihi anakNya begitu juga dengan kita sesama manusia harus mengasihi di antara satu sama dengan yang lain kerana setiap insan itu amat berharga di mata Tuhan.
Sr Maria Dipal RGS |
Ajaran Sosial Gereja merupakan harta yang penuh dengan sumber kebijaksanaan dalam membina komuniti insani yang adil dan kehidupan yang kudus di tengah masyarakat dunia yang kian mencabar. Sister Maria menerangkan unsur-unsur penting bagi gereja adalah melalui Alkitab ( Sabda Tuhan ), Sakramen dan Misi Sosial. Iman kita harus berakar-umbi kepada hidup berkomuniti.
Selesai ceramah diadakan, sarapan pagi turut disediakan oleh Kerasulan Wanita Katolik. Selepas itu, sesi seterusnya adalah sesi perbincangan dalam kumpulan iaitu sebanyak 5 kumpulan yang terdiri daripada 10 orang setiap kumpulan. Semua peserta yang hadir berbincang dan bertukar-tukar pendapat tentang isu semasa berhubungkait dengan 7 tema ajaran sosial gereja yang meliputi;
- Kehidupan dan maruah manusia
- Panggilan kepada keluarga, komuniti dan keterlibatan
- Hak-hak dan tanggungjawab
- Peluang bagi mereka yang miskin dan lemah
- Maruah pekerjaan dan hak-hak asasi para pekerja
- Solidariti
- Menjaga ciptaan Tuhan
Selepas perbincangan setiap kumpulan membentangkan tema penting dalam ajaran sosial gereja. Semua yang hadir bersetuju pentingnya pembangunan insan kerana sangat mempengaruhi pendekatan di dalam pendidikan kristiani, pelayanan pastoral dan psikologi pastoral. Pendekatan ini dapat memperkembangkan dan meningkatkan keupayaan untuk mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik menurut kepada ajaran sosial gereja masa kini.
Ceramah Pembangunan insan ini merupakan julung kalinya diadakan di Paroki Telupid. Ia mendapat sambutan yang menggalakkan dan baik sekali seterusnya dapat mematangkan, memperkembangkan dan meneguhkan lagi tahap iman semua yang hadir kerana membantu menjawab segala persoalan umat kristian mengenai iman Gereja Katolik. Di akhir sesi, Francis Tan menyeru agar semua peserta mengambil bahagian dalam pelayanan gereja. YA, SEMESTINYA KAMI ! dapat melayani sesama dengan cintakasih Allah. Kita tidak mampu menjadi Katolik sejati tanpa memberi perhatian dan mengambil peduli kepada golongan yang memerlukan bantuan dari kita, kerana kita semua adalah anggota tubuh Kristus.
Pembentangan hasil perbincangan kumpulan |