MILTON MOSES
Beluran – 1 April, Gereja OUR LADY OF FATIMA, BELURAN telah dibanjiri sekitar 400 umat dari sekitar Beluran bagi menyambut Misa Kudus sempena Minggu Palma. Upacara perayaan dimulakan di hadapan gereja. Bapa Uskup Julius Dusin Gitom D.D mewartakan bacaan Injil Markus 11:1-10 yang menerangkan ketibaan Yesus ke Yerusalem.
Sebaik sahaja bacaan Injil, Bapa Uskup Julius memberkati daun-daun palma dan para umat yang sedang memegang daun palma mereka. Kemudian, mereka berarak masuk ke gereja bagi meneruskan perayaan Ekaristi yang didahului pelayan altar, pewarta, pelayan komuni, Bapa Uskup, koir dan diikuti pula oleh semua umat.
Berlandaskan kepada jalan cerita Minggu Palma, pengikut-pengikutnya yang menyambut ketibaan Yesus ke Yerusalem dengan megah dan gembira juga adalah di antara orang-orang yang menuntut kematian Yesus. Ini diumpamakan seperti menikam Yesus dari belakang dan hidup dalam kepura-puraan malahan tidak setia kepada Yesus.
Pewarta Sabda Tuhan dan Pemazmur |
Bapa Uskup Julius
Bapa Uskup memperkongsikan kisah kehidupan Yesus di mana Dia telah mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan. Seterusnya, Bapa Uskup mengajak para umat merenungi kisah tersebut yang sering kali berlaku didalam kehidupan seharian secara peribadi, seterusnya berani menghadapi Tuhan dan menyatakan kerpercayaan.
Bapa Uskup turut mengajak para umat melakukan pertobatan dengan sepenuhnya pada saat hidup sebagai persediaan pada masa – masa akhir nanti dan seterusnya bertemu dengan Tuhan. Kata – kata terakhir Bapa Uskup dalam khutbah, beliau menyeru kepada semua agar menjalani hidup sebagai Kristian Katolik yang sejati.