Esther Albert
Tawau: TUKAD atau ‘Tinimungan Umat Kadazandusun’ Holy Trinity Tawau telah merayakan Misa Kesyukuran sempena perayaan Pesta Menuai Peringkat Paroki Holy Trinity pada Ahad, 6hb Mei 2012 .
Seramai 1,000 umat beriman dari berbagai bangsa suku kaum telah hadir pada misa hari minggu dan di antara itu dianggarkan lebih kurang 400 umat TUKAD telah mengambil bahagian dalam Misa yang dipimpin oleh pembantu rektor, Fr. David A. Garaman.
Misa Kesyukuran ini diadakan setiap tahun oleh komuniti TUKAD untuk memanjatkan kesyukuran yang tinggi kepada yang Maha Agung atas kemurahanNya menyediakan segala keperluan, rohani dan jasmani semua manusia yang diciptaNya tanpa batasan.
Dalam homilinya, Fr. David menyatakan bahawa untuk terus hidup dalam iman, manusia harus tahu dan percaya bahawa Kristus adalah pohon Anggur yang sebenar. Dialah pokok dan kita adalah ranting-rantingNya. Tanpa pokok, ranting-ranting itu akan mati kekeringan kerana pokok itulah sumber segala kehidupan.
‘Yesus sudah ada dalam diri kita semasa kita dibaptis, maka tiada bezanya hidup dalam Roh yang diberikan kepada kita dengan hidup yang dilalui Kristus’ beliau berkata.
Seterusnya beliau menekankan kepada semua umat bahawa untuk menghasilkan buah yang banyak dan bermutu ianya memerlukan pertumbuhan dan kedewasaan iman yang hanya boleh diperolehi apabila manusia menghidupi firman Tuhan dan tinggal dalam serta berpusatkan kepada Kristus . Perayaan ini haruslah dijadikan sebagai satu masa untuk merenung hubungan peribadi kita dengan Tuhan dan juga membina hubungan dengan sesama komuniti kerana siapapun kita, apapun kedudukan kita, apa juga yang kita lakukan itu adalah untuk kemuliaan Tuhan.
Beliau mengajak semua umat untuk hidup berkomuniti dan mengambil bahagian dalam pembangunan Gereja terutamanya dalam Perhimpunan Umat Peringkat Paroki (Parish Delegate Assembly) yang akan diadakan sekitar bulan Mei ini bagi tujuan pembentukan Visi dan Misi Diosis.
Selepas Misa semua umat beredar kedewan Paroki untuk acara seterusnya. Dalam ucapan Sdra Edward Nuing, Pengerusi TUKAD sesi 2011-2013, beliau mengungkapkan rasa syukur dan gembiranya atas usaha-usaha yang telah di jalankan oleh komuniti TUKAD ini. Tambah beliau lagi, hasil daripada sesi doa dan renungan (Prayer and Discernment) komiti Tukad sesi 2011-2013 pada bulan Februari yang lepas, disedari bahawa wujudnya keperluan mendesak untuk memulakan pembelajaran Bahasa Kadazandusun untuk anak-anak TUKAD di Holy Trinity. Oleh itu, kelas Bahasa KDM telah dimulakan sejak April 2012 dan sambutan sangat menggalakan. Tenaga pengajarnya terdiri daripada guru-guru sekolah dikalangan Tukad yang mengajara dengan sukarela. Kemasukan untuk belajar adalah percuma.
Sementara itu Pengerusi Majlis Paroki Saudara Mario Domingo mengongsikan bahawa menjalani kehidupan sebagai umat yang beriman kita harus sentiasa bersyukur atas segala yang ada , agar kita hidup dalam kesederhanaan, rendah hati , ikhlas dan prihatin terhadap orang lain.
Sekali lagi Fr. David mengingatkan kepada semua umat TUKAD untuk mengekalkan budaya dan tradisi terutamanya Bahsa ibunda , kerana tanpa bahasa, bangsa itu akan hilang identitinya.
Acara pada hari itu diteruskan dengan pelbagai persembahan yang melibatkan semua hadirin.
Acara selesai pada jam 3.00 petang dengan Doa Penutup yang dipimpin oleh Fr. David.