Oleh Milton Moses
![]() |
‘FirmanMu, Pelita Bagi Kakiku, Terang Bagi Jalanku’ ~ Mengalu-alukan kehadiran Baptisan Baru |
SANDAKAN : Ahad, 27hb May 2012 bertempat di Dewan Paroki Katedral St.Mary, Sandakan, Hari Pentekosta telah dirayakan oleh sebilangan umat berserta dengan para Baptisan Baru dan seterusnya mengalu-alukan kehadiran mereka ke dalam Gereja Katolik iaitu dengan menyertai Majlis Makan Malam ‘Neophytes’.


Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Fr. Thomas Makajil, Rektor Paroki melalui ucapannya, beliau telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada para fasilitator yang telah banyak memberikan sumbangan serta tenaga dalam membantu mempersiapkan para baptisan baru. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada para Baptisan Baru kerana berjaya menyahut panggilan untuk menyertai Keluarga Katolik yang Kudus dan seterusnya menggalakkan para Baptisan Baru untuk menyertai salah satu perkumpulan / pelayanan dalam gereja agar dapat memberi sumbangan demi kebaikan gereja dan seterusnya membantu memperkuatkan lagi iman dalam kehidupan mereka seharian.

Semasa para tetamu menikmati hidangan makan malam, terdapat beberapa calon baptisan baru yang telah berkongsikan pengalaman dan perasaan mereka ketika mereka pertama sekali mengenali Tuhan Yesus dan seterusnya ingin memperluaskan dan mendalami apa yang telah Tuhan Yesus ajari.


Di samping itu juga, terdapat persembahan daripada English Sunday School yang turut menceriakan suasana petang tersebut. Cabutan tiket bertuah turut memeriahkan lagi majlis di mana 11 umat yang bertuah berpeluang mendapat angpau misteri yang disediakan oleh pihak penganjur.

![]() |
Jasamu dikenang ~ Fr Thomas menyampaikan sijil penghargaan kepada fasilitator Sunday School |
Pada majlis ini juga pihak penganjur turut mengambil peluang menyampaikan sijil penghargaan kepada para fasilitator yang telah menabur bakti kepada gereja bagi tempoh lebih dari 10 tahun.
Sdra Raymond Wong, selaku pengerusi majlis juga sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli jawatankuasa majlis yang telah berkerja keras menjayakan majlis tersebut. Beliau juga menghargai para tetamu dan umat yang telah memberikan sumbangan ikhlas dan seterusnya mengharapkan majlis seumpama ini dapat disambut secara tahunan.

Di penghujung majlis, Bapa Uskup Julius Dusin Gitom sempat meluahkan rasa syukur serta kegembiraannya sempena menerima kehadiran Baptisan Baru ke dalam Gereja Katolik di Keuskupan Sandakan. Beliau kemudiannya, memimpin doa penutup majlis pada malam itu. Acara berakhir dengan dua buah lagu mengenai Bonda Maria yang dinyanyikan bersama oleh para hadirin.