TELUPID :Sempena Minggu Katekatikal yang akan dirayakan 16hb September 2012, Komiti Katekatikal St.Martin telah mengadakan forum bersama ibu-bapa yang bertajuk ‘Ibu-Bapa sebagai Katekis utama’ – Benar/Palsu’ pada Ahad 2hb September. Penyelaras utama forum ini adalah Koordinator katekatikal Encik Richard Lobinjang bersama dengan paderi paroki iaitu Rev. Fr. Jasery G. Emmanuel.
Antara perkongsian ibu bapa yang hadir dalam forum tersebut:
En. Albert Matusin –Keluarga itu haruslah menjadi tempat pertama di mana dasar atau asas cinta kasih dan kesatuan dipelajari di mana nilai-nilai murni dalam kehidupan manusia dan Kristian diwarisi dan diajarkan kepada anak-anak. Pembentukan akhlak peribadi serta kerohanian anak-anak diperingkat awal adalah tanggungjawab utama ibu bapa di rumah.
Pn. Florence Gilok –Pembentukan dan perkembangan iman merupakan kerjasama ibu bapa khasnya. Suami perlu membantu isteri dan memahami akan keadaan serta situasi dalam sesebuah keluarga.
En. James Miki – Sungguhpun latar belakang kehidupan berbeza namun matlamat tetap berpusatkan kepada Kristus dalam kehidupan keluarga Kristian. Sebagai komuniti cinta kasih, setiap ibu bapa di dalam keluarga itu haruslah mengalami secara mendalam akan tanggungjawab terhadap anak-anak.
Di akhir forum tersebut Fr Jasery memberi rumusan singkat berkaitan peranan ibu bapa sebagai katekis utama dalam keluarga. Katanya, komitmen haruslah disusuli dengan tindakan yang nyata. Ibu bapa haruslah berusaha dan berkorban untuk melaksanakan tanggungjawab dan peranan mereka sebagai katekis utama bagi anak-anak mereka serta mendisiplinkan anak-anak berdasarkan Sabda Allah. Beliau mengakhiri forum dengan doa penutup dan rumusan keseluruhan forum tersebut pada kali ini akan disampaikan dalam homili pada minggu seterusnya.





