Oleh Mazdollyna M. Eborok dan
Farnandes, SOCCOM Lahad Datu
Dalam homilinya, Uskup Julius berkata bahawa setiap kali kita melakukan tanda Salib, kita menjemput persekutuan Allah itu dan kita mahu menyatukan diri kita dengan keilahian Allah itu sendiri. Tritunggal adalah doktrin gereja yang sungguh-sungguh besar iaitu tiga peribadi di dalam satu Allah, sama dalam keilahian namun berlainan dalam keperibadian. Seperti terdapat dalam Matius 28: 19, “Jadikanlah semua bangsa muridKu dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Putera dan Roh Kudus,” dengan itu kita mendapati bahawa Yesus sendiri telah menyatakan sesuai hal tentang Tritunggal ini.
Seperti di dalam surat rasul Paulus yang menyatakan umat harus hidup di dalam suatu komuniti sama seperti Allah itu sendiri hidup di dalam komuniti, hidup dalam ikatan keilahian itu sendiri iaitu Bapa Putera dan Roh Kudus. Kita dituntut untuk menghidupi keilahian dan cinta kasih di dalam kehidupan kita sendiri, baik di dalam keluarga ataupun komuniti.
Perayaan Kaamatan dan Hari Gawai, bukan sekadar perayaan kesyukuran tetapi perayaan secara berkomuniti. Perayaan ini adalah perayaan yang mencerminkan sifat-sifat Allah itu sendiri yang hidup berkomuniti. Kita hendaklah merayakan acara ini dalam suasana aman damai, kesederhanaan dan sifat kekeluargaan melibatkan semua bangsa dan etnik.
Selesai Misa Kudus, prelatus itu dalam ucapannya berkata, “Terlebih dahulu saya mengucapankan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan, Kotobian Tadau Kaamatan dan Selamat Hari Gawai. Kita sangat bersyukur kerana Tuhan telah memberi kita amalan budaya, tetapi Tuhan juga memberi budaya yang sesuai dengan iman kita. Budaya ini kita harus semaikan di dalam diri kita iaitu budaya memuji dan memuliakan Tuhan, budaya beriman dan kita juga harus memupuk budaya untuk saling menghormati dan saling menerima di antara satu sama lain. Walaupun di dalam gereja, kita memiliki pelbagai keturunan dan bangsa tetapi kita tetap menghormati di antara satu sama lain dan kekal sebagai satu tubuh di dalam Tuhan.”
Perayaan Kaamatan ini adalah tanda kesyukuran dan saat kemuncak ialah Perayaan Ekaristi di mana kita akan dicurahkan berkat dan kasih dari Tuhan. Akhir kata daripada Fr Simon, “Semoga semua yang hadir berpartisipasi dalam Pesta Kaamatan ini memperolehi sukacita.”