Laporan oleh: Mazdollyna Majalin Eborok

Foto oleh: Soccom Lahad Datu
LAHAD DATU, 21 April 2019 – Minggu Paska, atau dikenali sebagai minggu suci dan peristiwa penting bagi seluruh umat Katolik. Para umat Katolik Lahad Datu turut bersukacita dalam merayakan minggu suci ini dan menyediakan diri menyambut hari kebangkitan Yesus Kristus dan penyelamatanNya.
Romo Niklaus dari Keuskupan Larantuka telah membasuh kaki 12 orang umat terpilih.

Perayaan Khamis Putih atau “Holy Thursday” pada 18 April 2019, hari memperingati akan kasih dan pelayanan Yesus. Pada Hari tersebut, Yesus membasuh kaki ke-12 orang muridNya kerana cinta kasih Yesus yang sejati. Dalam musim peristiwa ini juga, pihak Gereja turut memilih 12 umat untuk mewakili 12 murid Yesus. Romo Niklaus dari Keuskupan Larantuka, NTT Indonesia sebagai wakil Yesus telah membasuh kaki umat terpilih pada malam tersebut. Pada malam Khamis Putih juga, para umat menyambut perjamuan terakhir dengan mengambil roti dalam menebus dosa-dosa manusia.

Hari Jumaat Agung jatuh pada 19 April 2019, perayaan ini membawa maksud akan penderitaan dan pengorbanan Yesus yang telah dihadapkan pada muka pengadilan yang penuh dengan tuduhan yang salah dan konflik kesedihan. Hari tersebut Yesus menderita dengan seksaan dan akhirnya wafat di kayu salib. Gereja Katolik Lahad Datu turut memperingati hari tersebut dan sama-sama menyertai dalam sembayang jalan salib dan upacara penghormatan salib.
Pada malam perayaan Paska 20 April 2019 (sementara menantikan kebangkitan Yesus) malam hari tersebut telah menjadi tradisi malam pembaptisan bagi baptisan baru untuk dibaptis dalam bersiap sedia merayakan kebangkitan Yesus. Terpancar senyuman kegembiraan pada raut wajah para umat Katolik Lahad Datu kerana hari kebangkitanNya hampir tiba dan kehidupan baru yang dijanjikan olehNya kepada para manusia.

Akhirnya pada Hari Paska iaitu 21 April, hari kemenangan dan harapan telah tiba. Yesus telah mengalahkan maut dan bangkit pada hari ketiga. Hari Paska inilah kehidupan baru bagi seluruh umat Katolik dan Kristian di dunia menurut Rev. Fr Simon Kontou dalam homilinya. Hari Paska turut melambangkan pengampunan, kehidupan baru dan kekuasaan Tuhan yang menyelamatkan.

Kehidupan dan peribadi Yesus telah menjadi inspirasi dan teladan bagi umat Kristian Katolik. Semoga peristiwa minggu suci ini memberikan kita refleksi dan memperkuatkan lagi dasar keimanan kita dalam menerapkan peribadi Yesus yang penuh cinta kasih.