Disediakan Oleh : Vellyroy Alexius
Objektif program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada ibubapa serta anak-anak mengenai peranan masing-masing untuk saling menghargai dan mengeratkan hubungan dalam keluarga, menyemai sikap saling menyayangi dan menghormati nilai-nilai murni keluarga serta memupuk sikap berkomunikasi dengan lebih terbuka dan sikap percaya di dalam keluarga.
Sesi 1 disampaikan oleh Puan Eva dengan tajuk “Kesan Media Sosial”, katanya “bukan sahaja ketagihan gajet dilihat pada generasi muda, tetapi ia turut membabitkan orang dewasa apabila waktu bersama keluarga banyak dihabiskan dengan melayan telefon. Maka dengan itu, daya kawalan penggunaan teknologi komunikasi perlu ditingkatkan bagi mengelakkan keruntuhan institusi keluarga”. Seterusnya, sesi disambung dengan tajuk “Penggunaan Bahan Berbahaya: Dadah, Alkohol dan Rokok” oleh En. Cesar Siruno. “Apabila seseorang dalam kemurungan atau kesepian memilih semua bahan yang berbahaya ini sebagai “selimut atau ubat”, itu membuatkan anda menjadi lebih teruk”.
Sesi diteruskan dengan tajuk Cabaran Keluargaku Dalam dan Luar Negeri yang disampaikan oleh En Gabriel Bali. “Komunikasi adalah sangat penting untuk mengelak keraguan dan salah faham”.
Manakala, sesi ke 5 yang bertajuk Keibubapaan Cemerlang disampaikan oleh En. Cesar dan Eva Siruno, “matlamat perkahwinan ialah membantu satu sama lain untuk menuju ke Syurga”.
Pada hari kedua, program dimulakan dengan doa pagi dan sesi perdamaian di mana semua ahli keluarga saling berdamai dengan membawa lilin sebagai tanda cahaya dan harapan. Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pn. Helena bersama dengan suaminya En. Lawrence.
Semua peserta program mengikuti Misa Kudus yang diselebrankan oleh Rev. Fr. Jasery G. Emmanuel pada jam 9.00 pagi. Di dalam homilinya, beliau berkongsi sedikit sebanyak berkenaan dengan keluarga, Ekaristi dan Perjamuan Syurgawi. “Tujuan perkahwinan dan kekeluargaan berasal dari rencana Tuhan. Semasa Ekaristi kita sudah melalui Perjamuan Syurgawi tetapi peringkat terakhir ialah di Syurga bersama Anak Domba”.