TELUPID – Saat ini, situasi yang telah melanda negara mahupun dunia kita sejak awal tahun 2020 telah menjejaskan dan sekaligus telah mengubah corak kehidupan kepada norma yang baharu. Bagi sesetengah pihak, situasi ini telah menjejaskan aktiviti yang dapat menjana sumber pendapatan masing-masing.
Sebanyak 40 bungkus bakul makanan terdiri daripada beras, barangan dapur serta telur telah diagihkan kepada 5 zon iaitu St Padre Pio, St Roderick, St Thomas, St Susanna dan St Nicholas di peringkat paroki Santo Martin Telupid. Bakul makanan ini merupakan sumbangan daripada pihak gereja khas untuk para umat dan penduduk setempat yang terjejas akibat daripada pandemik Covid 19.
Agihan bakul makanan telah selesai dilaksanakan oleh kelima-lima zon pada 25 Julai 2021 kepada mereka yang memerlukan. Tujuan agihan bakul makanan ini diharap agar sedikit sebanyak memberikan kelegaan dan membantu para penerima untuk meneruskan aktiviti seharian walau di tengah pandemik.
Melalui agihan bakul makanan ini, seperkara yang boleh kita semua renungkan dan telusuri bersama ialah, kita diajak untuk sentiasa melihat keperluan persekitaran kita. Situasi semasa tidak menghalang kita untuk berbagi dan berkongsi rezeki malah memberi peluang untuk kita semua mendekati dan membantu mereka yang amat memerlukan.
Selain daripada agihan bakul makanan, secara tidak langsung, perkara ini juga membuka ruang serta memberikan kesedaran kepada kita (umat) untuk menyedari betapa pentingnya melihat keperluan antara satu sama lain agar sepanjang tempoh kita berhadapan dengan situasi pandemik yang tidak menentu ini, tidak ada yang tercicir mahupun merasa tidak dipedulikan . Semoga keluarga yang telah menerima agihan bakul makanan ini mendapat kelegaan dan kekuatan untuk menempuh serta meneruskan kehidupan.