SOCCOM, Telupid
TELUPID – Agihan bakul makanan kali kedua telah dijalankan pada 16 September 2021 bertempat di Restoran Doji bersama dengan wakil dari ahli Majlis Pastoral Paroki. Agihan bakul makanan kali kedua ini ialah susulan daripada agihan bakul makanan yang telah dilaksanakan pada 25 Julai 2021. Pada kali ini sebanyak 100 bakul makanan telah disumbangkan oleh pihak gereja untuk diagihan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik ini tanpa mengira latar belakang.
Semua pengerusi zon (St Padre Pio, St Roderik, St Thomas, St Susanna dan St Nicholas) di Paroki St Martin, Telupid telah hadir bersama-sama dengan sebahagian pengerusi KUK untuk mengambil bakul makanan bermula seawal jam 9 pagi dan selesai kira-kira jam 12 tengahari. Ekoran dengan penularan kes Covid-19 yang masih meningkat, agihan dijalankan dengan kehadiran ahli yang terhad serta pematuhan SOP yang ketat.
Keadaan semasa berkaitan dengan situasi Covid-19 ini telah memberikan impak kepada semua orang tanpa mengira latar belakang. Situasi ini juga mendorong pelbagai pihak tampil untuk memberikan bantuan dan sokongan dalam pelbagai bentuk yang bersesuaian dengan keperluan semasa. Sekali lagi, agihan bakul makanan siri yang kedua ini diharap agar dapat membantu dan memberikan kelegaan kepada golongan yang terjejas.
Dorongan dan ajakan kepada semua agar, sentiasa peka dengan keadaan semasa walau dimana juga kita berada agar sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang lebih memerlukan pada ketika ini.