Keadaan negara yang masih berhadapan dengan pandemik covid-19 masih sangat membimbangkan rakyat. Namun, ini tidak mematahkan semangat Tim Kerasulan Belia Keuskupan (KBK) Sandakan untuk terus mengadakan pelbagai program bagi semua belia khususnya di peringkat Keuskupan Sandakan. Pada tanggal 3 Oktober 2021, bersamaan dengan hari Ahad yang lalu, KBK telah mengadakan program Lawatan Pastoral Belia ke Paroki Sandakan. Program ini terbuka kepada semua umat dan diadakan secara virtual melalui aplikasi Zoom yang bermula dari jam 7:30pm.

Lawatan ini turut dihadiri oleh Fr Dafrin selaku Penasihat Rohani, Sr. Rusiah selaku Kordinator Kerasulan Belia Keuskupan dan saudara Michael Phoon selaku Kordinator Kerasulan Belia Paroki Sandakan. Program ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP) iaitu saudara Freddy Graman dan beberapa ahli MPP yang lain iaitu saudara Michael Lai, Adaris Sintan, Cristopher Aban dan Justine Marcus.

Tujuan utama lawatan secara virtual ini adalah untuk mengongsikan peranan dan fungsi Tim Kerasulan Belia sama ada di peringkat Keuskupan mahupun di peringkat Paroki dan di samping, memberi peluang kepada semua umat untuk mengenali barisan Tim Kerasulan Belia bagi sesi 2021-2023.

Perkongsian dimulai dengan pengenalan dan sejarah pembentukan Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan yang dikongsikan oleh saudara Corey Felino dari Paroki Sandakan. Tim Kerasulan Belia mengalami beberapa perubahan semenjak pembentukan pertamanya pada 3 Oktober 2009 namun itu tidak mengubah peranan dan fungsinya iaitu antara lain berkhidmat sebagai satu badan penasihat kepada Bapa Uskup dalam segala hal berkenaan dengan belia terutamanya dalam merancang, melaksanakan serta menilai program-program belia. Turut dikongsikan adalah maksud disebalik logo Kerasulan Belia yang telah dihasilkan oleh saudara Arturo Teneros yang mana masih kekal penggunaannya sehingga pada hari ini.

Program diteruskan dengan pengenalan dan fungsi Kerasulan Belia Paroki (KBP) yang dikongsikan oleh saudari Fettwinda dari Santo Martin, Telupid. Seperti KBK, KBP turut berfungsi menjadi penasihat kepada Paderi dalam segala isu yang berkaitan dengan belia di paroki disamping, merancang, melaksanakan dan menilai sesuatu program. Turut dikongsikan 5 logo KBP dan satu tanah misi gereja iaitu Paitan yang mempunyai maksudnya yang tersendiri. Selain itu, saudari Fettwinda juga menyentuh tentang kemajuan digital dan kepentingan dalam menggunakan media sosial ini dengan bijaksanaan iaitu sebagai alat mengongsikan sebarang program dan pengisian rohani. Perkongsian diakhiri dengan satu rumusan ringkas dan padat secara keseluruhan akan pelayanan kerasulan belia di diosis ini oleh saudara Gregory.

Adalah menjadi harapan semua agar program lawatan seperti ini dapat membantu mendekatkan umat dengan gereja dan berjalan bersama khususnya para belia di paroki Sandakan di era digital ini.