Walaupun Peringkat Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan, semangat untuk mengenali cinta kasih Yesus antara satu sama lain tetap diteruskan. Inilah yang berlaku pada tanggal 26 September 2021 di Gereja Holy Trinity Tawau (HTC) dimana seramai 29 orang belia telah menyertai program Lawatan Pastoral secara virtual atau lebih dikenali sebagai “Meet and Know” yang telah dianjurkan oleh Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan (KBK/DYA). Selain ahli-ahli Kerasulan Belia Paroki (KBP) dan belia-belia Tawau, turut hadir bersama ialah pembantu rektor paroki HTC Fr. Stanley William, Sr. Julita FSIC dan wakil dari Majlis Pastoral Paroki (MPP) Tawau.

Program dimulakan dengan pengenalan tentang penubuhan Kerasulan Belia Keuskupan (KBK) oleh saudara Michael. Melalui pengenalan ini, para peserta mendapat pencerahan tentang KBK sebagai tunjang utama untuk para belia dalam Diosis Sandakan. Seterusnya saudara Martinus menyampaikan tentang maksud-maksud bagi logo KBK dan HTC. Penyampaian ini membantu para peserta untuk mengenali lebih dekat lagi tentang identiti belia dalam gereja disamping membantu para belia mendalami kasih Tuhan dalam pelayanan gereja.

Setelah itu, saudari Elisha selaku pengerusi Kerasulan Belia Paroki (KBP/PYA) Tawau sesi 2021-2024 juga menyampaikan hasrat dan harapannya. Dia menyatakan bahawa dengan kekangan komunikasi yang berlaku akibat pandemik, ini tidak akan menjadi penghalang bagi dirinya untuk membawa rakan-rakan belia Tawau untuk berkumpul yang bukan sahaja bagi aktiviti-aktiviti yang dianjurkan malah untuk menguatkan iman sesama sebagai belia Katolik.

Program “Meet and Know” yang singkat namun bermakna ini telah membantu para peserta untuk mengenali satu sama lain dan terutama sekali, dapat memberi informasi yang penting kepada semua untuk menguatkan iman masing-masing. Akhir sekali, satu rumusan tentang organisasi belia telah disampaikan oleh Koordinator KBK yang ringkas namun padat bagi memudahkan peserta untuk mengetahui lebih jauh dan dalam hala tuju pelayanan belia dalam gereja.