Oleh Marian Live Stream Crew / SOCCOM (Oddyssey)

Sandakan: Pada 29hb Oktober 2021 yang lalu, Marians.FM telah bersiaran untuk episod ke-2 dalam pelantar aplikasi Zoom. Kali ini, Marians.FM telah menjemput Rt. Rev Julius Dusin Gitom, Uskup, Keuskupan Sandakan untuk meluangkan masa bersama umat bagi mengupas topik-topik berkait rapat tentang Ulang Tahun Episkopal dan Keuskupan Sandakan Ke-14 serta Sinode 2021-2023.

Dalam perkongsian, Bapa Uskup telah menjelaskan secara meluas tentang perjalanan Keuskupan Sandakan serta cabaran dan perubahan yang telah dihadapi sehingga kini. Mengenai kenyataan Visi dan Misi Keuskupan Sandakan, Bapa Uskup menjelaskan bahawa semua umat telah berjaya menghasilkan Visi dan Misi ini melalui soal selidik “Apakah Gereja impian anda?”. Kenyataan ini juga adalah daripada inspirasi Roh Kudus yang telah mengilhami umat Keuskupan Sandakan untuk bekerja bersama sebagai satu komuniti dan melayani satu sama lain dengan kasih sayang Kristus. Beliau turut mengongsikan tentang pengalaman dan keunikan hidupnya sebagai seorang Uskup.

Topik mengenai perjalanan Sinode 2021-2023 juga dikupas oleh Bapa Uskup dengan jelas dan terperinci dari segi matlamat, peranan dan jenis-jenis Sinode. Sesuai dengan tema Sinode iaitu “Untuk Gereja Sinodal: Persekutuan, Partisipasi, Misi”, partisipasi umat amat penting dalam proses Sinode ini. Bapa Uskup menyatakan, “kita seharusnya sentiasa berada dalam persekutuan dengan Yesus Kristus sebagai anggota tubuh Kristus dan kita patut mengambil bahagian dalam misinya menggunakan cara sendiri dalam kehidupan seharian kita dan bersatu hati dalam melaksanakan rancangan pastoral kita.”

Perbincangan menarik bersama Bapa Uskup diakhiri dengan sesi soal jawab bagi membolehkan umat mengemukakan pertanyaan-pertanyaan untuk dijawab oleh Bapa Uskup.

Meskipun badai silih berganti,

Tiap saat Tuhan dengan kita,

Sekalung penghargaan Marians.FM beri,

11.11, jumpa lagi kita.