TELUPID – Selepas Sinod Para Uskup ke-16 dilancarkan di peringkat Keuskupan Sandakan, satu sesi penataran khas telah dibuat bersama semua ahli Majlis Pastoral Paroki (MPP) agar lebih difahami supaya mesej yang jelas dapat disampaikan kepada umat di seluruh paroki.
Pihak MPP telah memutuskan agar sesi taklimat Sinod Para Uskup ini dilaksanakan secara berperingkat supaya dapat menjangkau lebih ramai umat serta “mendengar” lebih banyak suara umat. Justeru, fasa pertama taklimat telah dijalankan pada 4 Disember 2021 yang lalu melibatkan para katekis, pengerusi komiti dan pengerusi zon.
Semasa sesi tersebut, terdapat beberapa tajuk utama yang dikongsikan iaitu latar belakang Sinod dan tujuan proses Sinod yang disampaikan oleh paderi paroki iaitu Fr. Christopher Ireneus manakala tajuk-tajuk lain pula disampaikan oleh ahli-ahli MPP merangkumi tema Sinod, pengalaman di peringkat tempatan, siapa yang terlibat, sikap untuk berpartisipasi, cabaran dalam perjalanan proses Sinod, garis masa pelaksanaan serta The Listening Questionnaires.
Sebelum berakhir, semua yang hadir berpeluang untuk berkongsi isi hati, pandangan dan pengalaman iman mereka melalui soal selidik yang diedarkan. Terdapat beberapa soalan yang perlu dijawab sebagai medium untuk menyampaikan suara umat. Sesi diakhiri dengan ucapan ringkas daripada paderi paroki yang mengingatkan kembali kepada semua akan tujuan proses Sinod ini dijalankan. Bagi fasa yang seterusnya, para ahli MPP akan mengadakan siri jelajah ke 5 buah zon di dalam paroki untuk menyebarkan mesej Sinod Para Uskup ini semua umat. –Soccom