Soccom Katekatikal

TELUPID – Pada 30 Januari 2022, Hari Minggu Katekatikal bertemakan “Keluarga: Jalan Menuju Kekudusan” telah diadakan di Paroki St. Martin, Telupid. Salah satu pengisian untuk minggu katekatikal pada tahun ini adalah rekoleksi untuk para katekis pembimbing. Seramai 78 orang pembimbing telah menghadiri rekoleksi yang diadakan pada 29 Januari 2022. Rekoleksi yang disampaikan oleh Seminarian Edward Yahan menyentuh tentang peranan keluarga dalam pembentukan iman anak-anak.

Para peserta rekoleksi

Seperti yang dikongsikan dalam Pesan Minggu Katekatikal 2022, ibu bapa merupakan katekis pertama bagi anak-anak. Keluarga adalah ‘tempat penyediaan katekesis’, untuk menyedari akan kehadiran Allah, langkah pertama dalam berdoa, pendidikan kesedaran moral, dan pembentukan akan pemahaman Kristian tentang cinta kasih dan seksualiti manusia. Justeru, melalui keluarga, anak-anak akan mempunyai idea tentang Tuhan dan iman sebelum memulakan sesi kelas bersama pembimbing.

Seminarian Edward Yahan menyampaikan sesi rekoleksi

Rev. Fr. Christopher Ireneus, dalam homilinya semasa Misa Kudus sempena Minggu Katekatikal mengatakan bahawa katekatikal berkait rapat dengan perkongsian iman dan kebenaran gereja. Tugas menyampaikan katekesis adalah tanggungjawab bersama, bukannya dipikul oleh satu pihak sahaja iaitu pembimbing. Sebaliknya, ibu bapa selaku katekis pertama dalam keluarga memainkan peranan utama dalam pembentukan iman anak-anak.

Pengutusan para katekis pembimbing, pelajar, ibu bapa dan semua umat sempena Minggu Katekatikal

Minggu Katekatikal membawa kita untuk melihat perjalanan iman keluarga kita. Oleh itu, para katekis, pembimbing, pelajar, ibu bapa serta seluruh umat diajak untuk bersama-sama merenung peranan masing-masing dalam pembangunan iman di paroki khususnya. Selesai homili, sesi pengutusan untuk semua katekis pembimbing, pelajar, ibu bapa dan seluruh umat dijalankan sebagai tanda pembaharuan komitmen untuk terus melayani dan bersama-sama dalam perjalanan iman sebagai satu komuniti dalam paroki.

Katekis pembimbing yang diutus mewakili semua pembimbing di seluruh paroki