Oleh Lucy Jamini Francis ,  Gambar oleh Handrison Yosef

SANDAKAN: Pada 27 Februari 2022, Komiti Pastoral Gereja St. Mark (KPSM) telah menganjurkan Program Sinode di peringkat sub paroki yang melibatkan umat Gereja St. Mark dari Komuniti Kristian Dasar (KKD) St. Benedict, St. Ignatius, St. Francis  Asisi dan KKD St. Micheal/KBKI. Sdra. Fabian Koret dan Sdri. Paulina Francis telah mengetuai penyelarasan dan pelaksanaan program ini dengan dibantu oleh para Ahli KPSM.

Fasilitator utama program yang telah diadakan di Dewan Gereja St. Mark ini ialah Rev. Fr. Stephen Esquerra, Pembantu Rektor Paroki Katedral St. Mary, Sandakan. Tujuan program tersebut diadakan adalah agar kejayaan misi proses Sinodal dapat dicapai iaitu semua umat beriman, para paderi dan umat awam dari gereja tempatan di seluruh dunia terlibat di mana semua dapat belajar mendengar serta berjalan seiring dengan satu sama lain.

Program dimulai dengan doa pembukaan oleh Fr. Stephen, disusuli penerangan ringkas tentang maksud Sinode. Terdapat tiga aspek utama perlu difahami oleh semua peserta tentang maksud sinode iaitu Persekutuan, Partisipasi dan Misi.

Melalui program ini, selain berpeluang untuk mengetahui maksud Sinode serta pemahaman tentang gereja (gereja sinodal), para peserta juga dapat mendengar hasil perkongsian sesama kumpulan.

Dalam sesi perbincangan berkumpulan, setiap kumpulan telah bersama-sama membincangkan dan menjawab sembilan (9) soalan asas di mana soalan-soalan asas tersebut merangkumi aspek-aspek berikut:

  1. Rakan dalam perjalanan
  2. Mendengar
  3. Perayaan
  4. Berkongsi tanggungjawab untuk misi kita yang sama
  5. Dialog dalam gereja dan masyarakat
  6. Ekuminisme,
  7. Kuasa (otoriti) dan partisipasi
  8. Menghayati dan membuat keputusan
  9. Membentuk diri kita dalam sinodaliti

Fr. Stephen telah memberi penjelasan serta bantuan dan panduan kepada peserta dalam kumpulan semasa mereka menjawab kesemua soalan asas itu. Kesemua lima (5) kumpulan dapat memberi perkongsian dengan baik dan mudah difahami. Hasilnya, perkongsian tersebut telah memberi ilham dan sentuhan kepada setiap peserta yang hadir.

Pihak Komiti Pastoral Gereja St. Mark menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada Fr. Stephen kerana telah memberi taklimat serta membantu dalam Program Sinode yang dijalankan. Mereka berharap agar semua peserta yang hadir dapat memahami, menghayati dan seterusnya mengamalkan proses sinodal di peringkat KKD masing-masing.

Sesi berakhir dengan rumusan perkongsian oleh Fr. Stephen, seterusnya doa penutup.