“FirmanMu pelita bagi kakiku dan terang bagi jalanku.” (Mzm 119:105)

Sandakan: Satu lagi komisi di Keuskupan Sandakan telah membentuk Barisan AJK Baharunya untuk Sesi 2022-2025, yang sudah tentunya akan membawa sukacita kepada semua umat. Komisi tersebut ialah Komisi Alkitab Keuskupan Sandakan (KAK). Komisi ini telah wujud pada awal tahun 2012 di mana Bapa Uskup Julius Dusin Gitom telah melantik Rev. Fr. Simon Kontou sebagai Pengerusi ketika itu. Kemudian, Bapa Uskup melantik pula Rev. Fr. Stephen Esguerra selaku Pengarah komisi bermula tahun ini.

Setelah menerima calon-calon perwakilan daripada lima buah paroki di keuskupan ini, akhirnya mesyuarat pemilihan telah berjaya dijalankan secara maya menggunakan Aplikasi Zoom pada 21 Jun 2022. Dihadiri oleh Fr. Stephen bersama Sdri. Anna Teresa Peter Amandus (Pentadbir) dan Sdri. Shirley Joseph (Kerani, Semua Komisi) daripada Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan, seramai 12 ahli berjaya menyertai pertemuan maya tersebut sehingga selesai.

  

Fr. Stephen telah memulakan mesyuarat tersebut dengan Pewartaan Injil dan Doa Pembukaan, seterusnya menyampaikan kata-kata aluan. Fr. berkata, “Saya bersyukur atas penglibatan kamu semua dan saya percaya bahawa kita harus sentiasa berjalan bersama. Kita ingin menjadi gereja sinodal iaitu sentiasa berpartisipasi, bersatu dan melaksanakan misi gereja, khususnya di keuskupan kita. Kita serahkan segalanya kepada Tuhan bahawa apapun yang akan kita lakukan melalui pelayanan komisi alkitab ini, biarlah membawa khabar gembira kepada orang lain juga. Saya percaya bahawa kita sudah melakukan aktiviti-aktiviti melalui pengajaran alkitab atau Firman Tuhan. Firman Tuhan harus kita kongsikan kerana apabila kita membaca atau mendengar Firman Tuhan, kita akan turut mendengar Roh Kudus berbicara kepada hati kita. Maka, kerana itulah kita perlu selalu mendorong dan mengingatkan kepada semua umat agar sentiasa mendengar Firman Tuhan. Kita datang ke gereja untuk mendengar perkataan daripada Allah sendiri. Mendengar itu merupakan satu keutamaan dan kepentingan di dalam kehidupan kita. Kita haruslah saling mendengar dengan sesama dan mendengar perkataan Allah.”

Kemudian, Sdri. Anna pula berkata, “Terima kasih kerana telah menyahut panggilan untuk melayani di komisi ini. Komisi ini agak kurang aktif dalam beberapa tahun lalu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, sudah sampai masanya untuk mengaktifkan semula komisi ini. Saya berharap dengan adanya kamu semua melalui bimbingan Fr. Stephen, kali ini pelayanan komisi dapat dipertingkatkan dan dikembangkan lagi, berjalan bersama bagi menghidupi misi gereja.”

Selepas itu, secara ringkas, setiap ahli telah memperkenalkan diri masing-masing sebelum sesi pemilihan dijalankan. Kemudian, agenda mesyuarat diteruskan dengan penerangan ringkas mengenai sejarah penubuhan dan aktiviti lalu KAK yang telah disampaikan oleh Sdri. Shirley.

Sesi pemilihan tersebut telah memberikan keputusan seperti berikut:

BARISAN AJK KAK SESI 2022-2025

 

PENAUNG:
Rt. Rev. Julius Dusin Gitom, DD – Uskup bagi Keuskupan Sandakan

 

PENGARAH:
Rev. Fr. Stephen Esguerra

 

PENGERUSI:
Sdra. Rodney Roger Sining – Paroki Katedral St. Mary, Sandakan

 

TIMBALAN PENGERUSI:
Sdra. Bob Remon – Paroki St. Dominic, Lahad Datu

 

SETIAUSAHA:
Sdri. Norziana Selumin – Paroki Katedral St. Mary, Sandakan

 

PEMBANTU SETIAUSAHA:
Sdri. Enniesia Julius – Paroki St. Martin, Telupid

 

AHLI KOMITI:
Sdri. Christina Tan Pui Lee – Paroki Katedral St. Mary, Sandakan
Sdri. Cristin Tan – Paroki Holy Trinity, Tawau
Sdri. Mary Lee Esporton – Paroki Holy Trinity, Tawau
Sdri. Jessica Flores – Paroki Holy Trinity, Tawau
Sdra. Elves Anthony Majanap – Paroki St. Dominic, Lahad Datu
Sdri. Carol Rondidas – Paroki St. Dominic, Lahad Datu
Sdra. Gabriel B. Sundang – Paroki St. Martin, Telupid
Sdra. Iap Guduh – Paroki St. Martin, Telupid
Sdri. Ronelli Robert – Paroki Our Lady of Fatima, Beluran
Sdri. Edith Marcus – Paroki Our Lady of Fatima, Beluran
Sdri. Colinna Henry Lindan – Paroki Our Lady of Fatima, Beluran

Sebaik selesai pemilihan tersebut, hadirin telah mendengar ucapan ringkas daripada Pengerusi KAK yang baharu. Sdra. Rodney berkata,”Sebenarnya saya kurang yakin untuk memegang jawatan ini, namun dengan izin dan kekuatan yang Tuhan berikan, saya menyahut panggilan ini. Saya akan cuba sedaya-upaya dengan bantuan semua ahli dan bimbingan Fr. Stephen. Terima kasih kerana memberi kepercayaan ini kepada saya. Marilah kita bersama-sama lakukan ini.”

Mesyuarat ini telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian melalui perbincangan dalam WhatsApp Group Rasmi KAK.

Kemudian, Fr. Stephen meneruskan dengan Upacara Pengutusan. Sebelum doa berkat penutup, Fr. Stephen sempat menyampaikan ucapan tahniah kepada mereka yang telah dipilih untuk memegang jawatan tertinggi serta semua ahli yang menerima pelantikan untuk melayani di komisi ini. “Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua. Saya sangat bersyukur kerana kamu semua dapat meluangkan masa untuk hadir ke pemilihan malam ini. Saya percaya bahawa bukanlah mudah untuk mendapatkan tarikh dan masa yang sesuai untuk berkumpul. Ini adalah kerana Roh Kudus yang memungkinkan semua ini terjadi, yang membimbing dan menuntun kita sehingga terlaksana sesi pemilihan kita.”

Beliau berkata lagi, “Peranan komisi ini adalah untuk mempromosi alkitab, iaitu Firman Tuhan kepada umat Allah dan menggalakkan umat mendengar serta mendalami pengetahuan mereka tentang alkitab. Tanggungjawab ini akan kita pikul bersama, berjalan bersama dan bekerja bersama, walau apapun yang kita hadapi. Tuhanlah yang akan memberi kekuatan kepada kita.”

Sdri. Anna turut menyampaikan kata-kata tahniah dan semangat kepada mereka. Beliau berkata, “Tahniah kepada yang telah dipilih! Saya lihat ada di kalangan ahli-ahli komisi yang berpengalaman, yang telah lama, dan pernah melayani di gereja, berkaitan dengan pengajaran alkitab. Semasa Minggu Alkitab, bolehlah paroki-paroki menjalankan aktiviti di tempat masing-masing. Kita akan sentiasa saling mempelajari dari sesama. Saya pasti kamu semua boleh melaksanakannya. Amin.”

Seterusnya, sesi bergambar bersama dijalankan sebelum pertemuan secara maya tersebut ditamatkan pada jam 9.45 malam.