SANDAKAN: Mesyuarat Pemilihan AJK Baharu bagi Komisi Komunikasi Sosial Keuskupan Sandakan (KKSK) untuk Sesi 2022-2025 telah dijalankan pada hari Jumaat, 3 Jun 2022, jam 7.30 malam secara maya melalui aplikasi ZOOM.

Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh para perwakilan yang telah dicalonkan oleh Paderi Paroki masing-masing. Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Rev. Fr. Simon Kontou selaku Pembimbing Rohani serta empat staf di Pejabat Pastoral Keuskupan Sandakan iaitu Sdri. Anna Teresa Peter Amandus, Pentadbir bagi Pejabat Pastoral, juga salah seorang Administrator, laman sesawang rasmi keuskupan, Sdri. Rogena Roger Sining sebagai Setiausaha KKSK Sesi 2019-2021, juga merupakan Social Communication-in-Charge di Pejabat Pastoral dan Administrator utama laman sesawang, Sr. Noemi Mejia, FSIC, Pengarah Pejabat Belia dan salah seorang Administrator laman sesawang dan Sdri. Shirley Joseph, Kerani untuk Semua Komisi dan juga salah seorang Administrator laman sesawang tersebut.

Beberapa perwakilan lama dan baharu tidak dapat menghadiri mesyuarat ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan termasuklah Sdra. Leonard Sabinus, Pengerusi KKSK Sesi 2019-2021. Maka, Timbalan Pengerusinya iaitu Sdra. Farnandes Siprianus, telah mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Mesyuarat ini telah dimulakan dengan sesi penerangan mengenai Garis Panduan KKSK yang disampaikan oleh Sdri. Shirley. Manakala Sdri. Rogena pula menyampaikan laporan tentang aktiviti-aktiviti sepanjang 2020 dan 2021. Sdri. Rogena kemudiannya memperkenalkan Regional Commission for Social Communications, Malaysia, Singapura dan Brunei (RCSC) dengan memberi penjelasan tentang siapa yang akan mewakili keuskupan ke mesyuarat tahunan dan apakah antara sesi atau aktiviti yang dijalankan. Dia turut mengumumkan bahawa Tuan Rumah bagi mesyuarat itu pada tahun 2022 ialah Keuskupan Sibu namun masih secara maya. Setiap tahun, 11 keuskupan di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei akan bergilir-gilir menjadi tuan rumah. Namun, sama ada dapat dijalankan secara bersemuka atau maya, belum ditentukan lagi.

Mesyuarat diteruskan dengan penerangan tentang laman sesawang rasmi Keuskupan Sandakan oleh Fr. Simon di mana beliau mengongsikan harapan Bapa Uskup Julius agar website ini diaktifkan pada tahun ini kerana pada tahun-tahun sebelumnya website keuskupan kurang aktif. Selain itu, Bapa Uskup juga berharap agar ada sumbangan berita-berita dari setiap paroki. Sdri. Rogena telah memaklumkan tentang satu ruang yang perlu diisi dengan alamat e-mel jika ingin melanggan secara percuma Newsletter, Diocese of Sandakan untuk menerima artikel-artikel berita terbaru yang disiarkan di bahagian Blog. Fr. Simon sendiri menggalakkan agar Komiti Komunikasi Sosial di semua paroki berperanan untuk memperkenalkan dan mempromosi laman sesawang ini kepada umat-umat agar mereka juga melanggan newsletter tersebut.

Sejurus itu, Fr. Simon dengan rasminya mengumumkan pembubaran KKSK Sesi 2019-2021 bagi memberi laluan kepada Sesi Pemilihan Rasmi AJK Baharu KKSK Sesi 2022-2025. Keputusan pemilihan adalah seperti berikut:

BARISAN AJK KKSK SANDAKAN SESI 2022-2025

PENAUNG:
Rt. Rev. Datuk Julius Dusin Gitom, DD – Uskup, Keuskupan Sandakan

PEMBIMBING ROHANI:
Rev. Fr. Simon Kontou

PENGERUSI:
Sdri. Euthalia Chong @ Jihan – Paroki Katedral St. Mary, Sandakan

TIMBALAN PENGERUSI:
Sdra. Javy Jimmy – Paroki St. Martin, Telupid

SETIAUSAHA:
Sdri. Delsie Ivy Didacius – Paroki St. Martin, Telupid

PEMBANTU SETIAUSAHA:
Sdra. Jonathan Jimmey – Paroki Katedral St. Mary, Sandakan

AHLI KOMITI:
Sdra. Romeo Francis – Paroki Katedral St. Mary, Sandakan

Sdra. Jerome Lim – Paroki Holy Trinity, Tawau
Sdra. Joel Monasque – Paroki Holy Trinity, Tawau
Sdra. John Wong Tzu Kim – Paroki Holy Trinity, Tawau

Sdra. Fernandes Siprianus – Paroki St. Dominic, Lahad Datu
Sdra. Dominggus Pati Hendrikus – Paroki St. Dominic, Lahad Datu
Sdra. Jaymar Amarille – Paroki St. Dominic, Lahad Datu

Sdra. Maldinew Elixius – Paroki St. Martin, Telupid

Sdra. Matthew Kiun @ Geoffrey – Paroki Our Lady of Fatima, Beluran
Sdra. Selwyn S. Ho – Paroki Our Lady of Fatima, Beluran

Selelah selesai sesi pemilihan, Sdri. Euthalia dijemput untuk menyampaikan ucapan. Beliau berkata, “Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi KKSK yang baharu. Saya memohon agar kamu semua mendoakan saya dapat memikul tanggungjawab ini selama tiga tahun. Saya juga mengharapkan bantuan dan kerjasama daripada semua ahli komisi agar mengaktifkan lagi pelayanan komunikasi sosial ini.”

Sdri. Euthalia kemudiannya mengambil alih untuk mempengerusikan mesyuarat. Memandangkan tiada hal-hal lain yang ingin dibincangkan, mesyuarat ditangguhkan ke satu tarikh, masa dan tempat yang akan ditentukan melalui perbincangan lanjut di WhatsApp Group Rasmi KKSK.

Fr. Simon sempat mengucapkan tahiah kepada semua yang baru saja dipilih untuk memegang jawatan tertinggi AJK KKSK Sesi 2022-2025. Fr. berkata, “Terima kasih kepada semua terutama sekali yang sanggup menerima peranan sebagai pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan pembantu setiausaha. Saya menyeru agar yang lain memberi sokongan dan kerjasama demi memajukan website kita dan selamat melayani di Ladang Tuhan.”

Saudari Anna Teresa pula berkata, “Finally, telah ada ajk baharu komisi ini. Kami (Pejabat Pastoral Keuskupan) menantikannya.” Beliau mengucapkan semoga maju jaya kepada tim baharu ini di bawah pimpinan Sdri. Euthalia dengan bimbingan Fr. Simon. “Saya nantikan hal-hal baharu daripada komisi ini. Perlahan-lahan, seperti kata-kata, ‘slowly but surely’,” katanya lagi.

Fr. Simon sebagai wakil Bapa Uskup Julius telah menyempurnakan Upacara Pengutusan untuk barisan ajk baharu tersebut dan sekaligus mengakhiri sesi pertemuan maya dengan doa dan berkat penutup.