Oleh Lucy Jamini Francis
Gambar oleh Warga KKD St. Benedict
Sandakan: Tiga minggu selepas sambutan Perayaan Ulang Tahun KKD St. Benedict ke-15 berakhir, majlis kesyukuran pula diadakan pada 27 Jun lalu bagi menghargai jasa dan kerjasama para AJK Pelaksana.
Majlis Kesyukuran yang bermula pada jam 7.30 malam telah diadakan di kediaman Keluarga Francis Galantas yang dihadiri lebih kurang 60 ahli warga KKD St. Benedict, Batu 7, Sandakan. Sehubungan itu, Sdra. Francis selaku tuan rumah turut memohon Rev. Fr. Stephen Esquerra untuk memberkati rumah mereka serta sekaligus memberikan Sakramen Pengurapan Orang Sakit kepadanya dan isterinya.
Selesai upacara-upacara tersebut, acara diteruskan dengan makan malam bersama. Acara cabutan tiket bertuah turut diadakan sebagai memeriahkan majlis dan tanda penghargaan kepada semua yang hadir dan terlibat di majlis kesyukuran tersebut. Selain itu, penganjur juga telah mengambil kesempatan menjalankan acara perpisahan bersama Fr. Stephen yang akan melayani dan bertugas di Paroki St. Martin, Telupid bermula 1 Julai. KKD St. Benedict menghargai segala bimbingan rohani Fr. Stephen selama lebih kurang dua tahun bersama mereka.
Dalam ucapan Pn. Paulina Francis, Pengerusi KKD St. Benedict, beliau berterima kasih kepada Fr. Stephen kerana telah banyak membantu dalam membimbing serta membentuk iman dan komuniti KKD St. Benedict. Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua AJK atas kesatuan dan kerjasama yang ditunjukkan sehingga Program Sambutan Ulang Tahun KKD St. Benedict Kali ke-15 yang lalu telah berjalan dengan lancar.
Rev. Fr. Stephen Esquerra dalam ucapannya pula menekankan betapa pentingnya untuk terus memupuk kerjasama dan kesatuan dalam sesebuah KKD. Beliau sekali lagi mengucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran sambutan Ulang Tahun KKD St. Benedict lalu. “Melalui semangat dan pegangan kerjasama dan kesatuan itulah berlakunya proses gereja sinodal”, tambahnya lagi.
Acara diteruskan dengan pemotongan kek bersama. KKD St. Benedict telah menghadiahkan sebuah cenderahati kenangan kepada Fr. Stephen. Kemudian, acara bergambar bersama diadakan selepas pemotongan kek dan mereka semua mendendangkan sebuah lagu bertajuk, “Hari Ini Kurasa Bahagia”.
Cabutan tiket bertuah yang ke-25 merupakan acara penghujung majlis jamuan kesyukuran serta perpisahan untuk Fr. Stephen. Fr. Stephen telah menutup majlis tersebut dengan doa. Keluarga-keluarga di KKD St. Benedict berharap agar Fr. Stephen dapat melawat KKD-KKD di Sandakan pada bila-bila masa nanti dan mereka turut mendoakan Fr. Stephen sentiasa dalam keadaan sihat dan terus kuat dalam pelayanannya di Ladang Tuhan.