Oleh Lucy Jamini Francis
Gambar oleh Warga KKD St. Benedict
Sandakan: Pada 6hb Jun 2022, Perayaan Ulang Tahun Penubuhan KKD St. Benedict ke-15 telah diadakan di Dewan Gereja St. Mark, Batu 12. Seramai lebih kurang 130 umat termasuk dari KKD St. Benedict sendiri, para jemputan khas dan umat setempat telah menghadiri perayaan kesyukuran ini.
Perayaan bermula dengan Misa Kudus pada jam 6 petang yang diselebrankan oleh Fr. Stephen Esguerra, Pembantu Paderi Paroki Katedral St. Mary, Sandakan. Selesai Misa Kudus, jamuan Kesyukuran pula diadakan. Persembahan nyanyian kanak-kanak daripada para keluarga KKD St. Benedict telah memeriahkan perjalanan awal aturcara jamuan tersebut dengan membawa lagu bertajuk, “Hari Ini Kurasa Bahagia”.
Pengerusi KKD St. Benedict, Puan Paulina Francis, dalam ucapan beliau telah menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir kerana memberi kepercayaan kepada KKD St. Benedict untuk menganjurkan Sambutan Ulang Tahun KKD St. Benedict kali ke-15. Beliau turut menyatakan penghargaan kepada bimbingan Rev. Fr. David A. Garaman sebagai Paderi Paroki Katedral St. Mary, Sandakan dan pembantunya, Rev. Fr. Stephen, atas sokongan warga KKD St. Benedict dan juga kerjasama yang ditunjukkan, sehingga perayaan ulang tahun tersebut berjaya direalisasikan.
Teks ucapan Paderi Paroki Katedral St. Mary yang telah disampaikan oleh Rev. Fr. Stephen, dan juga Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, Uskup bagi Keuskupan Sandakan, masing-masing merakamkan ucapan tahniah kepada KKD St. Benedict yang telah berjaya melaksanakan perayaan itu dan terus bersatu sehingga 15 tahun sebagai KKD. Mereka berharap agar semangat kesatuan yang ditunjukkan akan berterusan dan berkekalan di samping terus kukuh melalui proses pertumbuhan dan perkembangan iman dalam kehidupan diri sendiri serta keluarga.
Seterusnya, perasmian logo KKD telah dijalankan dengan gimik perasmian iaitu pemotongan riben yang disempurnakan bersama oleh para tetamu kehormat dan jemputan khas. Logo KKD St. Benedict adalah ilham Saudara Linus Sipat bersama AJK KKD St. Benedict.
Semasa makan malam, acara penyampaian hadiah disampaikan kepada kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti membuat persembahan pentas serta pertandingan mewarna. AJK Pelaksana turut tidak ketinggalan untuk menghiburkan para hadirin dengan mempersembahkan nyanyian mereka dengan gaya ciptaan tersendiri tetapi penuh makna melalui sebuah lagu bertajuk, “Hidup ini adalah Kesempatan”. Para hadirin telah menyanyi bersama-sama mereka.
Sebanyak 42 hadiah cabutan tiket telah disediakan atas sumbangan umat-umat yang murah hati. Hadiah utama iaitu sebuah peti sejuk beku bernilai RM650 telah menjadi milik Encik Christo Boy Tan. Acara berakhir pada jam 11.00 malam dengan doa penutup dipimpin oleh Rev. Fr. Stephen.
Warga KKD St. Benedict berasa gembira dan bersykur kerana telah berjaya menganjurkan perayaan ini. Mereka berharap dan berdoa agar ikatan kekeluargaan semakin erat dan sikap kesatuan terus dipupuk dalam melayani Tuhan, di samping menjadi pendorong dan inspirasi dalam menyahut panggilan Tuhan.
Secara ringkasnya, maksud lambang-lambang pada logo adalah Salib Kristus melambangkan kemenangan Kristus, imej orang dan burung merpati melambangkan komuniti KKD St. Benedict yang menyambut cinta kasih Tuhan, imej alkitab terbuka melambangkan dasar iman dan keterbukaan yang sepenuhnya terhadap Firman Tuhan dan nyalaan api melambangkan kehadiran Roh Kudus dalam pelayanan kehidupan seharian. Seterusnya warna hijau melambangkan sokongan komuniti KKD kepada sesama di dalam Kristus dan seterusnya warna kuning melambangkan sukacita.