TEMA: “Ke Arah Gereja Yang Lebih Sinodal”
SANDKAN: Setiap tahun, Kerasulan Wanita Katolik (KWK) Diosis Sandakan berusaha untuk menjalankan perhimpunan agungnya. Pada tahun 2020, perhimpunan mereka yang ke-9 telah berjaya diadakan di Dewan St. John of the Cross Retreat Centre, Ulu Dusun pada 7 dan 8 Mac. Kemudian, Perintah Kawalan Pergerakan mulai dilaksanakan di Malaysia kerana Pandemik Covid-19. Dengan itu, pada tahun 2021 perhimpunan ke-10 tidak dapat dijalankan. Namun demikian, pelayanan tetap diteruskan walaupun secara maya dan tidak begitu aktif.
Setelah perhimpunan secara bersemuka diizinkan oleh pihak Kerajaan Malaysia dan Sabah, KWK tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk meneruskan perhimpunan agungnya yang ke-10 pada 30hb Julai 2022 bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Pastoral Diosis Sandakan. Seramai 120 ahli dari Paroki Katedral St. Mary Sandakan, Paroki Holy Trinity Tawau, Paroki St. Dominic Lahad Datu, Paroki St. Martin Telupid, Paroki Our Lady of Fatima Beluran dan Misi Paitan telah hadir ke perhimpunan ini. KWK Paroki Sandakan telah dipilih sebagai tuan rumah atau tim pelaksana utama kali ini.
Perhimpunan dimulakan dengan Pentakhtaan Alkitab oleh wakil-wakil dari setiap paroki yang hadir dan doa pembukaan dipimpin oleh Rev. Fr. Christopher Ireneus, Pembimbing Rohani KWK Diosis Sandakan.
Ketua Penyelaras KWK, Puan Cecelia D’ Souza ketika berucap, mengalu-alukan kehadiran semua yang datang dari jauh dan dekat. Beliau mempercayai bahawa semua yang hadir ke perhimpunan tersebut datang kerana iman dan beliau juga menghargai sokongan yang diberikan sehingga dapat berkumpul bersama-sama atas nama Kristus. Beliau turut mengingatkan, “Ini bukanlah tentang pertemuan demi pertemuan, tetapi menunjukkan bahawa kita datang dalam satu iman untuk memberikan pelayanan kepada Tuhan.”
Fr. Christopher, dalam ucapannya pula, berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada semua yang hadir. Beliau juga rasa bersyukur kerana dapat bermesyuarat walaupun hanya secara maya bagi pemilihan dan pelantikan Ahli Majlis Tertinggi Sesi 2022-2025 pada 15 Mac yang lalu. “Setelah sekian lama tidak bertemu, berkumpul bersama, akhirnya kita tahu mengapa kita berada di sini. Ini menunjukkan semangat dan komitmen pelayanan seperti tema perhimpunan kita, ‘Ke Arah Gereja Yang Lebih Sinodal’,” katanya. Beliau menegaskan bahawa gereja sinodal membawa pemahaman kepada semua umat dan mengadaptasi sesuatu yang baharu, berjalan bersama seiring dengan perkembangan terkini dan bersedia mempersiapkan diri untuk menempuhi cabaran mendatang. Beliau menjadikan perhimpunan agung Ke-10 ini sebagai contoh kerana pelaksanaan berjalan dengan baik. “Semangat seumpama ini diperlukan oleh gereja dan saya berharap agar KWK terbuka kepada pelayanan lain, luar daripada kebiasaan, iaitu seperti mempromosi panggilan hidup sebagai paderi atau religius, bertanggungjawab saling mendengari sesama dan berjalan bersama dalam pelayanan,” tambahnya lagi. Ucapannya diakhiri dengan meluahkan rasa gembira atas kehadiran yang memberangsangkan, memuji semangat yang memberi inspirasi serta berpesan agar tidak melihat tugasan-tugasan pelayanan sebagai satu bebanan tetapi satu peluang atau kesempatan untuk melayani dan memberikan sesuatu kepada gereja dan komuniti demi kemuliaan Tuhan.
KWK telah membincangkan serta melaporkan hal-hal yang telah tercatat dalam minit mesyuarat lalu serta mengutarakan perkara-perkara berbangkit. Mereka juga menetapkan dan mengemaskini Takwim KWK Diosis Sandakan Tahun 2022/2023. Mereka bercadang mengadakan Perhimpunan Agung ke-11 di Paroki Holy Trinity, Tawau pada bulan Jun 2023 dan sekaligus merayakan Ulang Tahun KWK Diosis Sandakan yang ke-12.
Penyerahan tugas kepada Setiausaha, Sdri. Babylyn Baco dan Bendahari, Sdri. Jauvinah @ Joven Jaimin, sesi 2022-2025.
Mereka berdua merupakan perwakilan dari Paroki Katedral St. Mary, Sandakan.
Misa Kudus oleh Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom dan concelebrant, Rev. Fr. Christopher Ireneus.
Pemberian cenderahati kepada Bapa Uskup Julius, Fr. Christopher, Sr. Regina Kimung FSIC dan pemain gitar (untuk misa kudus)
sebagai tanda penghargaan daripada semua ahli Kerasulan Wanita Katolik Diosis Sandakan kerana sokongan mereka dalam menjayakan Perhimpunan Agung ke-10 ini.
Yang Mulia Bapa Uskup Julius mengakhiri ucapannya dengan luahan rasa gembira juga dan berharap agar ahli-ahli KWK yang baharu dan lama dapat berkerjasama untuk meraih banyak pencapaian dalam pelayanan sebagai kerasulan wanita Katolik. Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua ahli KWK kerana sudi dan rela untuk melayani di peringkat diosis dan paroki.
Perhimpunan ini telah memberi ruang kepada ahli-ahli KWK yang lama dan yang baharu untuk lebih saling mengenali dan mengetahui perkembangan masing-masing setelah agak lama tidak dapat berjumpa dan bermesyuarat secara bersemuka. Selain itu, pelayanan mereka dapat diaktifkan serta disegarkan kembali.
Ahli Majlis Tertinggi Kerasulan Wanita Katolik Diosis Sandakan bergambar bersama Bapa Uskup Julius.
Laporan oleh,
BABYLYN BACO
(SETIAUSAHA KWK KEUSKUPAN SANDAKAN 2022-2025)