LAHAD DATU: Rev. Fr. Simon Kontou telah ditahbis menjadi seorang paderi keuskupan pada 25 tahun yang lalu, iaitu pada 1hb September 1997. Pada ketika ini, Fr. Simon merupakan Rektor bagi Paroki St. Dominic, Lahad Datu. Maka, umat-umat di paroki tersebut meraikan kesyukuran ini dengan menganjurkan Sambutan Ulang Tahun Pentahbisan Rev. Fr. Simon Kontou yang ke-25 (Jubili Perak) pada 31hb Ogos 2022.
Perayaan kesyukuran itu telah dimulakan dengan Misa Kudus pada jam 9:00 pagi. Ramai umat dari dalam dan luar paroki hadir untuk memberi sokongan dan sebagai tanda penghargaan kepada pelayanan Fr. Simon. Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom sebagai Uskup Keuskupan Sandakan dan beberapa paderi dari luar Paroki Lahad Datu juga hadir.
Semasa memulakan Misa Kudus tersebut, Bapa Uskup Julius berkata, “Uskup akan memberikan Piala (Anggur) dan Roti kepada paderi pada hari pentahbisannya, dan mengatakan, “Terimalah persembahan dari umat Allah. Ketahuilah apa yang engkau rayakan, sesuaikanlah hidupmu dengan misteri Salib Kristus.” Maka, hidup paderi itu bergantung kepada misteri Kristus sendiri yang dilambangkan dalam upacara khusus bagi paderi semasa pentahbisan itu dan saya percaya Rev. Fr. Simon Kontou sudah menghitung segala rahmat yang dia telah terima selama 25 tahun. Segala kebahagiaan, kegembiraan, kesenangan, juga kegagalan, kelemahan dan kekecewaan sebagai seorang paderi, segalanya tercantum dalam perayaan di mana Roti dan Anggur yang dia terima, dipersembahkan dalam hidupnya setiap hari apabila dia merayakan misteri Kristus dalam Ekaristi. Maka dengan ini, kita bersyukur atas segala kemurahan Tuhan, cinta kasih Tuhan dan belas kasihanNya, khususnya kepada Fr. Simon dan semua umat yang telah dilayaninya selama 25 tahun. Segalanya kita syukuri pada hari ini.”
Semasa sesi homili pula, Fr. Simon telah memberi perkongsian mengenai pelayanannya sepanjang 25 tahun itu. Beliau berkata,”Saya tidak berasa bahawa 25 tahun itu adalah satu tempoh yang lama. Sepanjang tempoh tersebut, saya hanya melayani di tiga paroki, iaitu Paroki Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu, Paroki Katedral St. Mary, Sandakan dan Paroki St. Dominic, Lahad Datu. Sebenarnya, saya telah ditahbis menjadi diakon di Gereja St. Dominic, Lahad Datu dan kemudiannya, sebagai paderi di Gereja St. Aloysius, Limbanak, Putatan. Selepas saya selesai pembentukan sebagai seminarian di kolej seminari, Bapa Uskup John Lee telah menempatkan saya untuk bertugas dan melayani di Gereja St. Dominic selama dua tahun.
Kemudian, selepas dua tahun berada di Paroki Lahad Datu, saya telah dihantar untuk menyambung pelajaran di luar negara selama tiga tahun. Selepas selesai belajar, saya bertugas pula di Paroki Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu. Tidak terlintas di fikiran saya untuk melayani di kawasan pantai timur Sabah lagi seperti Lahad Datu dan Sandakan kerana Bapa Uskup John Lee pernah memberitahu saya secara peribadi, bahawa saya akan dihantar bertugas di Paroki Papar selepas dua tahun di Kota Kinabalu. Bapa Uskup meminta agar saya tidak memberitahu sesiapa akan hal ini. Maka, saya pun menyimpan hal itu untuk diri sendiri dan amat yakin bahawa akan ditugaskan di kawasan pantai barat Sabah.
Selepas beberapa minggu, Bapa Uskup John Lee memanggil saya lagi dan memberitahu bahawa saya akan ditempatkan di Sandakan sebagai Paderi Paroki dan bukan lagi di Papar. Saya memberitahu Bapa Uskup bahawa saya akan pergi ke Sandakan walaupun sebenarnya sudah membuat persiapan pergi ke Papar. Saya kongsikan kepada anda semua ini kerana perjalanan hidup pelayanan saya merupakan satu rencana Tuhan yang indah. Saya telah menjadi seorang paderi kerana berkat Tuhan yang sungguh indah sekali.
Tidak lama selepas menjadi Paderi Paroki di Sandakan, saya telah mendengar khabar mengenai pembentukan Keuskupan Sandakan. Walau siapa juga yang menjadi Uskup, saya pasti bahawa saya akan melayani di Keuskupan Sandakan. Saya tidak berasa ragu-ragu dan yakin bahawa saya memang akan melayani di Keuskupan Sandakan kerana selepas melayani di Lahad Datu dan Sandakan, saya telah memahami situasi di kawasan Keuskupan Sandakan. Rencana Tuhan buat saya adalah untuk melayani di keuskupan ini.
Selepas terbentuknya Keuskupan Sandakan, Bapa Uskup Julius telah menempatkan saya untuk bertugas semula di Paroki Lahad Datu. Inilah paroki paling lama di mana saya melayani, iaitu selama 14 tahun. Bagi saya, ini merupakan rencana Allah yang sungguh indah sekali kerana bukan sahaja diutus untuk melayani di sini tetapi Allah mahu meneguhkan iman saya, mahu menyelamatkan saya agar saya terus menjadi paderi. Itulah sebabnya Allah mengutus saya di Paroki Santo Dominic, Lahad Datu. Pelayanan paderi itu adalah untuk semua umat. Saya berusaha untuk melayani umat tanpa pilih kasih dan adil. Setiap kumpulan pelayanan yang ada di paroki, haruslah disokong oleh paderi. Saya tidak mengabaikan mana-mana kumpulan pelayanan di paroki.”
Pada akhir perkongsiannya, Fr. Simon memohon agar semua umat terus mendoakannya dan sempat mengingatkan para umat untuk pergi membuat pengakuan dosa sekerap mungkin kerana beliau sendiri secara peribadi telah menerima penyembuhan rohani daripada Sakramen Pertobatan sehingga masih dapat melayani sebagai paderi. Beliau juga berterima kasih kepada semua kerana menyokong pelayanannya sebagai paderi selama 25 tahun di ketiga-tiga paroki tersebut.
Seterusnya, sambutan ulang tahun tersebut diraikan dengan lebih bermakna lagi apabila majlis kesyukurannya diadakan dalam bentuk Majlis Makan Malam Amal. Acara ini yang telah dijalankan pada hari yang sama. Para tetamu dan umat telah mulai datang dan memenuhi ruangan Dewan Terbuka Gereja St. Dominic, Lahad Datu seawal jam 5 petang lagi.
Selepas doa pembukaan, para hadirin telah mendengar beberapa ucapan bermula dengan ucapan daripada Sdra. Fredolin Karim selaku Pengerusi Penganjur, diikuti ucapan Fr. Simon dan Bapa Uskup Julius. Mereka semua meluahkan rasa bersyukur dan penghargaan kepada semua umat yang telah bekerjasama dan ikhlas dalam menderma demi mengumpul dana yang mencukupi bagi pembinaan bangunan Dewan Penyembahan dan Kelas Katekatikal Paroki St. Dominic, Lahad Datu.
Semasa Makan Malam Amal itu, Pertandingan Mr. dan Ms. Dominican Musim ke-3 bagi tahun 2022, cabutan tiket bertuah, tajaan lagu serta jualan makanan dan minuman juga antara acara dan aktiviti yang dijalankan bagi tujuan mengutip dan mengumpul dana tersebut. Di samping itu, hadirin juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas seperti tarian dan nyanyian.
Secara keseluruhannya, kedua-dua program tersebut telah dapat dijalankan dengan jayanya dan meriah. Paroki St. Dominic, Lahad Datu berjaya mengumpul sebanyak RM152,147.22 untuk Acara Makan Malam Amal tersebut. Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama dari pelbagai pihak dan semestinya yang terpenting adalah kesatuan daripada umat mereka. Kesatuan sebegini dapat membentuk gereja yang teguh dan penuh dengan cinta kasih Yesus.
Program majlis makan malam amal itu telah berakhir kira-kira jam 11:30 malam dengan doa penutup yang dipimpin oleh Rev. Fr. Arthur John dari Paroki Holy Trinity, Tawau.
Oleh SOCCOM Paroki Lahad Datu
Sila lihat gambar-gambar lain: