Oleh: Delsie Ivy, SOCCOM
TELUPID – Pada 15 dan 16 September 2022 yang lalu, Kempen Hentikan Pencemaran Plastik yang bertemakan “Mendengar Suara Alam: Hentikan Pencemaran Plastik” Peringkat Paroki Santo Martin, Telupid telah dijalankan di Kapela St. Fidelis, Kiabau. Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada umat akan pentingnya menjaga alam ciptaan Tuhan ini.
Umat mulai berkumpul di mercu tanda Kampung Kiabau sekitar pukul 8 pagi pada 15 September 2022. Aktiviti tersebut bermula dengan Doa Pembukaan oleh Fr. Christopher Ireneus, Paderi Paroki dan disusuli taklimat ringkas daripada En. Sylvester Bingkin selaku Pengerusi Pengelola. Setelah itu, Fr. Christopher bersama Fr. Stephen Esguerra, Pembantunya serta semua umat yang hadir bergerak bersama secara ‘konvoi’ bermotosikal/kenderaan sambil memungut sampah di sepanjang jalan menuju ke Kapela St. Fidelis Kiabau. Pada pukul 11.30 pagi, semua umat telah pun tiba di Dewan Mini Kapela St. Fidelis, Kiabau. Kemudian, mereka bergambar bersama dengan hasil kutipan sampah. Makan tengah hari bersama mengakhiri aktiviti pada pagi itu.
Pada sebelah petang pula, Yang Mulia Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, Uskup bagi Keuskupan Sandakan telah tiba di Dewan Mini St. Fidelis, Kiabau. Uskup, para paderi dan umat bergerak bersama menuju ke kawasan Sungai Purog dan ketibaan mereka disambut dengan paluan gong. Acara santai ini diteruskan lagi dengan katekisis mengenai tema tahun ke-3 ini, iaitu, “Hentikan Pencemaran Plastik” oleh Fr. Stephen yang juga merupakan Pengarah bagi Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Keuskupan Sandakan. Dalam katekisis, Fr. Stephen menekankan akan pentingnya untuk mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian bagi menjaga alam sekitar. Selain itu, beliau juga memberi penekanan kepada kepentingan keseimbangan ekosistem dalam melindungi kesihatan manusia dan meninggalkan persekitaran yang lebih baik untuk generasi akan datang. Aktiviti tersebut telah diakhiri makan malam bersama, secara santai sambil mendengar suara alam.
Hari berikutnya, 16 September pula, kempen dan Sambutan Hari Malaysia 2022 telah dimulai dengan Misa Kudus yang diselebrankan oleh Bapa Uskup Julius Dusin Gitom. Dalam homilinya, Bapa Uskup menekankan betapa pentingnya komitmen umat kepada negara dan kesedaran untuk memperjuangkan keadilan kepada semua. Beliau turut mengingatkan tentang peranan gereja yang besar dalam membangun masyarakat dan negara serta dalam penjagaan alam sekitar dengan melaksanakan kempen-kempen kesedaran. Beliau berkata, “Saya berharap agar kempen seperti ini tidak hanya terhenti di sini sahaja tetapi akan sentiasa berterusan dan membawa lebih ramai orang lagi untuk menyedari akan pentingnya menjaga alam sekitar”.
Di akhir Misa Kudus, Bapa Uskup telah menyerahkan banner Kempen Hentikan Pencemaran Plastik kepada semua Pengerusi Zon di Paroki St. Martin, Telupid. Selepas itu, semua hadirin dijemput makan tengah hari bersama di Dewan Mini St. Fidelis, Kiabau sambil mendengar dan menonton persembahan-persembahan daripada Keluarga Katolik Indonesia (KKI), Kanak-Kanak Pertemuan Minggu Gembira (PMG) dan juga Kerasulan Wanita Katolik (KWK).
Komiti pengelola berharap dengan penganjuran kempen ini, para umat akan lebih memahami tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan seterusnya pengunaan plastik dapat dikurangkan dalam aktiviti harian.