Teks oleh: Airene A Gumanas
Gambar oleh: Johnstone Jibin
Sandakan – Kerasulan Belia Paroki Katedral St Mary, Sandakan telah mengadakan Bengkel Pujian dan Penyembahan pada hari Ahad, 2 Oktober 2022 bertempat di Bilik Persidangan Paroki. Bengkel ini memfokuskan kepada Ahli Tim Kerasulan Belia Paroki dan juga Tim Rakan Belia Remaja yang baru sahaja dibentuk baru-baru ini bagi mengenali apakah itu ‘Pujian dan Penyembahan’.
Penyampai Sesi dijemput dari Pelayanan Pembaharuan Karismatik Paroki iaitu saudara Michael Lai dan Adaris Moses Sintan. Saudara Michael, ahli Star of Yahweh Covenant Community telah mengongsikan sedikit sebanyak sejarah penubuhan pelayanan karismatik di paroki oleh mendiang Fr Tobias Chi pada ketika itu. Manakala saudara Adaris mengongsikan pengalaman beliau sebagai seorang ahli pelayanan karismatik Bahasa Malaysia. Beliau turut menerangkan beberapa peranan dan persiapan penting sebelum memulakan pelayanan karismatik setiap minggu. Setiap pelayan karismatik diingatkan untuk membuat persiapan terlebih dahulu agar pelayanan itu dapat membawa umat lain mendalami dan mengalami kasih Tuhan itu semasa pertemuan minggu dijalankan.
Bengkel ini juga bertujuan untuk membawa para belia melihat bakat yang ada dalam diri masing-masing. Pelayanan belia adalah sangat luas. Diharap dengan adanya bengkel seperti ini dapat membantu para belia mengenali pelayanan/kerasulan/kumpulan/komiti yang ada di paroki dan membantu mereka untuk melibatkan diri secara khusus dalam pelayanan di paroki sesuai dengan bakat dan karunia masing-masing.
Sesi bengkel diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penyampai sesi dan bergambar bersama.