Sandakan: Julung kalinya, Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan SMK Konven St. Cecilia, Sandakan telah diadakan di Sabah Hotel, Sandakan pada 9hb Disember 2022. Majlis ini diadakan khasnya untuk pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki SPM tahun 2022. Seramai 174 graduan ditemani ibu bapa masing-masing telah hadir untuk menyaksikan penerimaan sijil tamat tingkatan 5.
Majlis yang dipengerusikan oleh Encik Chung Su Kiong, Pengetua SMK Konven St. Cecilia telah dirasmikan oleh Yang Mulia Rt. Rev. Datuk Julius Dusin Gitom, Uskup, Keuskupan Sandakan. Antara jemputan yang hadir pada majlis tesebut ialah En. Kelvins Kong Sian Kai (Setiausaha Komisi Pendidikan Keuskupan Sandakan), En. Daniel Lo Gee Yu (Pengerusi Komisi Harta Benda, Keuskupan Sandakan), Dr. Peter Jr. Naintin (Yg. Di Pertua PIBG SMK Konven St. Cecilia), Puan Cecelia Polo De’Souza (Pengerusi Lembaga Sekolah), En. Freddy Graman (Pengerusi Majlis Pastoral Paroki Katedral St. Mary, Sandakan) dan Puan Hajah Kamariah Lapaturusi (Ketua Pegawai SIPartner + PPD Sandakan).
Majlis bermula pada jam 8.30 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku, Sabah Tanah Airku dan lagu sekolah disusuli persembahan tarian selamat datang kepada semua yang hadir pada majlis tersebut.
Adik Nurfarahnasha Binti Sahak, wakil pelajar tingkatan 5 mengucapkan terima kasih kepada semua guru SMK Konven St. Cecilia yang telah mendidik dan mencurahkan ilmu dengan penuh dedikasi kepada semua pelajar khasnya pelajar Tingkatan 5. Adik Nurfarahnasha yang juga Ketua Pelajar sekolah turut mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang hadir untuk memberi sokongan kepada mereka.
Pengetua SMK Konven St. Cecilia, Encik Chung Su Kiong dalam ucapannya menyatakan penghargaan beliau kepada 174 pelajar tingkatan 5 yang telah tamat persekolahan dengan jayanya. Beliau turut berterima kasih kepada pengelola majlis graduasi pada kali ini kerana berjaya melaksanakan majlis dengan penuh komitmen dan cemerlang. Beliau turut menyeru kepada semua guru agar meneruskan usaha dan bakti untuk mendidik dan mencemerlangkan sekolah SMK Konven St. Cecilia. Kepada ibu bapa dan penjaga, beliau juga mengungkapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana telah hadir untuk memberi sokongan moral kepada anak-anak mereka. Selain itu, beliau turut menerangkan sekali lagi tujuan penganjuran majlis diadakan adalah untuk memberi motivasi, perangsang dan ingatan besar agar para graduan dapat meningkatkan kesediaan diri dari aspek psikologi di samping kesediaan intelek untuk mencapai keputusan yang cemerlang.
Di dalam ucapan Yang Mulia Rt. Rev. Datuk Julius Dusin Gitom, D.D., beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan sekolah SMK Konven St. Cecilia kerana sudi mengundangnya ke majlis graduasi yang sangat bermakna khusus untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada 174 graduan tingkatan 5 yang berjaya menamatkan pelajaran. Beliau seterusnya memberikan kata-kata semangat kepada guru-guru SMK Konven St. Cecilia untuk meneruskan usaha mendidik dan mencemerlangkan sekolah ini. Beliau turut mendoakan agar segala khidmat bakti dan pengorbanan serta sokongan terhadap usaha para guru-guru mendapat restu daripada Tuhan.
Setelah mengakhiri ucapannya, Yang Mulia Rt. Rev Datuk Julius Dusin Gitom telah menyempurnakan Gimik Perasmian Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan SMK Konven St. Cecilia.
Selepas itu, Encik Kelvins Kong Sian Kai, Setiausaha Komisi Pendidikan Keuskupan Sandakan dijemput untuk upacara penyampaian hadiah dan sijil kepada 18 murid cemerlang akademik Tingkatan 5. Upacara diteruskan dengan Penyampaian Hadiah dan Sijil Cemerlang Kokurikulum, Cemerlang Sahsiah Tingkatan 5 dan Anugerah-Anugerah Khas oleh En. Daniel Lo Gee Yu yang merupakan Pengerusi Komisi Harta Benda Keuskupan Sandakan.
Majlis penyampaian hadiah dan sijil turut dihiasi dengan persembahan tarian rampaian oleh para pelajar sekolah. Dr. Peter Jr. Naintin yang merupakan YDP PIBG SMK Konven St. Cecilia turut dijemput untuk menyampaikan 37 hadiah dan sijil yang terdiri daripada Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2021, Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2021 berdasarkan Gred Purata Murid serta Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2021 yang berdasarkan Bilangan A.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil graduan kepada 174 graduan tingkatan 5 yang disempurnakan oleh Yg Mulia Rt. Rev. Datuk Julius Dusin Gitom untuk kelas 5A, Puan Hajah Kamariah Lapaturusi (Ketua Pegawai SIPartner+PPD Sandakan) untuk Kelas 5B, En. Freddy Graman, (Pengerusi Majlis Pastoral Paroki Katedral St. Mary Sandakan) untuk Kelas 5C dan 5D dan Puan Cecelia Polo De’Souza (Pengerusi Lembaga Sekolah) untuk Kelas 5E dan 5F.
Majlis menutup tirai dengan persembahan nyanyian yang terdiri daripada murid dan guru disusuli acara gambar bersama semua graduan dan jemputan khas serta pentadbir sekolah. Majlis bersurai pada jam 11.30 pagi.