Oleh Clly Gulimit
TELUPID – Pada 29 Januari 2023 yang lepas, Majlis Pastoral Paroki St. Martin, Telupid telah mengadakan satu majlis berkembar untuk Rev. Fr. Stephen Esguerra dan juga Seminarian Jescie Petrus. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk meraikan Rev. Fr. Stephen Esguerra yang akan berpindah ke Paroki Our Lady of Fatima, Beluran serta mengalu-alukan kedatangan Seminarian Jescie Petrus yang akan menjalankan kerja pastoral selama sebulan sebelum meneruskan pengajian tahun pertama falsafah di College General, Pulau Pinang.
Majlis yang disambut secara sederhana ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran umat dari sekitar pekan dan luar stasi. Berkonsepkan makan bersama secara potluck, umat yang hadir membawa pelbagai jenis juadah untuk dikongsikan. Acara yang bermula seawal pukul 2:00 petang dimulakan dengan doa pembukaan oleh Seminarian Jescie disusuli dengan ucapan daripada Seminarian. Beliau menyatakan rasa syukur kerana dapat belajar banyak perkara meskipun tempoh pastoral tidak panjang.
Kemudian, Rev. Fr. Christopher Ireneus dalam ucapannya berkata bahawa perpindahan paderi merupakan perkara biasa dan pasti akan dialami oleh semua paderi keuskupan. Beliau mengharapkan agar pengalaman-pengalaman yang diperolehi Fr. Stephen sepanjang tempoh bertugas di paroki ini dapat dimanfaatkan apabila menggalas tanggungjawab sebagai paderi paroki nanti. Selain itu, Fr. Christopher turut mengajak semua umat agar terus berdoa bagi Seminarian Jescie sepanjang tempoh pembentukannya.
Fr. Stephen pula dalam ucapannya berterima kasih kepada semua atas sokongan doa yang diberikan dan berharap agar semua umat sentiasa mendoakan beliau di paroki baru nanti. Beliau mengakui bahawa menerima pelantikan sebagai paderi paroki merupakan suatu cabaran yang besar namun ianya adalah peluang untuk lebih dekat kepada Tuhan serta memahami erti pelayanan yang sebenar.
Selesai ucapan, majlis diteruskan dengan acara pemotongan kek, penyampaian cenderahati dan sesi bergambar. Kemudian, semua umat menjamu selera sambil dihiburkan dengan persembahan-persembahan santai daripada umat yang hadir.