oleh Natasha Novena

SANDAKAN – Bertempat di Katedral St. Mary, Sandakan, pada hari Minggu Pra-paskah ke-2 iaitu 5hb Mac 2023, seramai 18 orang katekumen Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) terpanggil untuk meneruskan perjalanan iman mereka sebagai seorang Katolik melalui satu upacara pemilihan nama.

Di dalam homili yang disampaikan oleh Fr. Simon Kontou, beliau mengongsikan “Kemuliaan yang diperlihatkan oleh Yesus adalah satu destinasi walaupun dalam perjalanan hidup akan mengharungi banyak halangan. Kita harus memikul salib kita dan percaya dengan janjiNya yang akan memberi kehidupan kekal. Kita di dunia mungkin berjalan dengan panggilan yang berbeza tetapi tujuan itu tetap sama iaitu menuju kepada Tuhan Yesus.”

Seterusnya, beliau mengatakan bahawa banyak perkara atas dasar mencari kemewahan hidup telah membuatkan umatNya semakin menjauh daripada Tuhan Yesus. Sebelum mengakhiri homili, beliau turut menyeru semua umat untuk mendengarkan Tuhan Yesus dengan memberi keyakinan kepada mereka bahawa Tuhan mempunyai rencana untuk perjalanan hidup setiap umat iaitu, umat yang sentiasa mentaati kehendakNya pasti menerima anugerah kehidupan kekal.

Sebelum Misa berakhir, semua katekumen yang terpilih menerima berkat dari Fr. Simon Kontou untuk mempersiapkan diri mereka agar diterima dalam Sakramen Inisiasi pada Malam Paskah.